Kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerlukan enam bulan lagi
untuk memulihkan negara selepas mengambil alih pentadbiran Mei tahun lalu, kata
Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin.
Beliau berkata dalam tempoh itu PH perlu berdepan dengan
rakyat dan memberi penerangan yang tepat terutama dalam hal ekonomi agar mereka
faham situasi semasa.
Loading...
Katanya kekalahan PH dalam pilihan raya kecil (PRK) di Dewan
Undangan Negeri (DUN) Rantau, Negeri Sembilan semalam juga adalah cabaran yang
harus ditangani memandangkan rakyat tidak mampu bersabar dengan situasi semasa.
"Saya rasa kerajaan perlu tempoh masa enam bulan lagi
untuk membetulkan keadaan bukan sahaja tumpu kepada pembangunan ekonomi, tetapi
pelbagai isu. Ini rakyat perlu faham,” katanya kepada pemberita selepas Program
Bicara Darul Iman yang turut dihadiri Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar,
di Kuala Terengganu hari ini.
Daim berkata walaupun memahami rakyat mahu melihat
perubahan, namun kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk meneliti dan menimbang
sebaik mungkin sesuatu isu termasuk berhubung kedudukan ekonomi dan kewangan
negara.
"Kerajaan banyak masalah… fikir tentang keselamatan,
hubungan luar dan pertahanan… esok (kemudian nanti) kalau jadi apa-apa, rakyat
marah kerajaan juga. Nak turunkan harga barang tu memang boleh… kita buat
kajian macam mana nak turunkan harga. Insyaallah tak lama lagi akan turun, saya
ingat dalam masa enam bulan lagi banyak perkara akan jadi lebih stabil,"
katanya.
Beliau turut mengaitkan kekalahan Pakatan Harapan (PH) di
Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau semalam mungkin
sebahagian manifestasi kemarahan rakyat terhadap kerajaan disebabkan kenaikan
harga barang yang puncanya tidak diketahui oleh rakyat.
Ditanya sama ada persepsi rakyat terhadap prestasi kerajaan
akan bertambah baik pada masa akan datang, beliau berkata ia akan berlaku
sebaik sahaja kerajaan dapat menyelesaikan permasalahan rakyat seperti kenaikan
kos sara hidup dan melaksanakan janji-janji manifesto pada Pilihan Raya Umum
Ke14 yang lalu.
"Bukannya susah hendak terangkan kepada rakyat. Kalau
tak boleh buat cakap tak boleh buat. Bagi tahu kepada rakyat apa sebab tak
boleh buat (sesuatu perkara), mesti ada sebab. Takkan kalau boleh buat tapi
kerajaan tak nak buat, itu yang penting untuk dijelaskan kepada rakyat,"
katanya.
- Bernama
PH perlu 6 bulan lagi pulihkan negara - Daim
Reviewed by Faceless
on
16:56
Rating:

No comments: