KOTA KINABALU — Presiden PKR Datuk Seri Anwar
Ibrahim yakin kekuatan sesebuah kerajaan tidak akan tergugat sekiranya ia
mempunyai belas kasihan kepada rakyat tanpa mengira latar belakang.
Anggota Parlimen Port Dickson itu berkata belas kasihan
adalah untuk semua manusia tanpa mengira warna kulit dan keyakinan agama bagi
memastikan hidup mereka yang susah terbela.
Loading...
“Kalau fahaman ini ada dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH)
bersama Parti Warisan Sabah (Warisan) saya yakin ‘tidak ada kuasa yang boleh
menggoncang kerajaan yang kuat ini ‘ di bawah PH baik di Sabah mahupun Malaysia
tetapi syaratnya ialah melaksanakan apa yang kita ucapkan,” katanya ketika
berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri PKR Sabah, di sini semalam.
Anwar berkata PKR sentiasa memberi komitmen agar kerajaan di
bawah PH bertambah kuat serta menjadi contoh yang terbaik dan ia tidak akan
dapat dicapai hanya dengan satu parti.
“Oleh sebab itulah kita harus pastikan kerjasama antara
parti-parti dalam PH serta Warisan cukup kuat dan hormat hak dan giliran yang
memimpin kita,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah
Datuk Christina Liew berkata kerjasama dan keharmonian merupakan teras penting
dalam pembangunan negara dan masyarakat terutamanya di Sabah.
Timbalan Ketua Menteri Sabah itu berkata kerajaan negeri
dibawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menitikberatkan
keharmonian kerana ia merupakan kekuatan dan teras sebenar negeri Sabah yang
boleh dipelajari oleh lain-lain negeri di negara ini.
“Dalam konteks perayaan, kita dapat lihat semua bangsa
bersama-sama memeriahkan sambutan Hari Raya Aidilfitri, begitu juga sambutan
Tahun Baru Cina, Deepavali dan Krismas,” katanya.
Turut hadir Naib Presiden PKR Dr Xavier Jayakumar,
Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta beberapa
pemimpin daripada Warisan, DAP dan Upko. — Bernama
Anwar: Tunai janji, kerajaan kukuh jika kuat belas kasihan
Reviewed by Faceless
on
21:51
Rating:
No comments: