PUTRAJAYA — Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad
berkata Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak perlu bercuti sementara siasatan
dijalankan berhubung video kontroversi yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal
Ekonomi itu.
Beliau berkata mana-mana menteri hanya perlu bercuti
sekiranya siasatan itu mempunyai kaitan dengan salah laku atau jenayah,
bagaimanapun kes yang dikaitkan dengan Mohamed Azmin adalah bermotifkan
politik.
Loading...
“Sebenarnya, ia bertujuan untuk memalukan beliau dan untuk
mendesak beliau supaya bercuti. Saya tidak suka maklumat politik ini,” katanya
kepada pemberita ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Hari Raya Jabatan
Perdana Menteri di sini semalam.
Dr Mahathir berkata siasatan berkaitan video itu akan diteruskan
di mana Mohamed Azmin, yang juga Timbalan Presiden PKR, tidak akan menimbulkan
sebarang halangan.
Mohamed Azmin memberi kenyataan beliau kepada polis pada
Isnin lepas berhubung video yang didakwa dikaitkan dengan dirinya.
Pada Rabu lepas, Mohamed Azmin menafikan sekeras-kerasnya
dakwaan oleh seorang individu yang cuba mengaitkan beliau dengan video seks,
dan menyifatkannya sebagai tuduhan jahat dan percubaan untuk memusnahkan
reputasi dan keperibadian serta menjatuhkan dan memusnahkan kerjaya politiknya.
Ditanya tentang gesaan sesetengah pihak supaya Timbalan
Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyerahkan jawatan itu
kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Dr Mahathir berkata mereka mempunyai
hak untuk mencadangkan.
“Mereka boleh membuat cadangan, sama ada saya terima, itu
perkara lain,” katanya.
Bendahari Bersatu Selangor Mohd Shaid Rosli, yang juga
Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Jeram, berkata langkah itu perlu dalam
pelan peralihan yang membabitkan penyerahan jawatan perdana menteri daripada Dr
Mahathir kepada Anwar.
Mengenai kritikan terhadap beliau berhubung kenyataannya
tentang Yahudi semasa menyampaikan syarahan di United Kingdom baru-baru ini, Dr
Mahathir berkata beliau hanya menyuarakan pendapatnya.
“Mereka bercakap tentang kebebasan bersuara, jika saya tidak
boleh menyebut tentang perkara itu, ia bukanlah kebebasan bersuara.
“Sebab itulah saya menyatakan orang Eropah bersikap dwi
standard. Kalau mereka suka, itu adalah kebebasan bersuara, kalau mereka tidak
suka, itu adalah salah,” katanya. — Bernama
Azmin tidak perlu cuti, video tular motif politik - PM
Reviewed by Faceless
on
19:02
Rating:
No comments: