Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak, Paul Yong Choo
Kiong yang akan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan
merogol, dinasihat supaya bercuti daripada tugasan rasmi beliau, bagi
menghormati proses undang-undang.
Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata
perkara itu termasuklah tidak mengambil bahagian dalam sebarang mesyuarat yang
melibatkan proses membuat keputusan, sehingga perbicaraan kes selesai.
Loading...
Sambil memberi jaminan proses perundangan ke atas Yong tidak
akan menjejaskan perjalanan pentadbiran kerajaan negeri, Ahmad Faizal berkata
setakat ini tidak ada keperluan untuk melakukan sebarang rombakan drastik
barisan Exco.
“Semua barisan Exco kerajaan negeri sedia ada mampu memikul
tanggungjawab untuk menjalankan urusan pentadbiran secara bersama,” katanya
dalam satu kenyataan di sini, malam tadi.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir
Mohamed hari ini mengesahkan, Yong akan didakwa hari ini mengikut Seksyen 367
Kanun Keseksaan.
Pada 8 Julai lalu, seorang wanita warga Indonesia berumur 23
tahun membuat laporan polis, mendakwa dirogol Yong di rumah majikannya itu di
Meru.
Menjelas lanjut, Ahmad Faizal berkata kerajaan negeri
menghormati proses pendakwaan itu, memandangkan keluhuran undang-undang adalah
prinsip asas dalam masyarakat negara ini, dan pada masa menghormati prinsip
bahawa seseorang itu tidak bersalah, sehingga dibuktikan sebaliknya.
Tambahnya, prestasi Yong yang juga Ahli Dewan Undangan
Negeri (Adun) Tronoh, adalah memuaskan dan beliau memberi kerjasama baik kepada
semua pihak dalam melaksanakan tanggungjawab.
Ahmad Faizal berkata beliau secara peribadi terkejut atas apa yang berlaku dan berharap
keluarga Yong, khususnya isteri serta anak-anak akan bersabar, dalam melalui
proses perundangan itu seterusnya keadilan
ditegakkan kepada semua pihak yang terlibat.
Menteri Besar Perak itu juga menyeru semua penyokong Yong
supaya bertenang dan menghormati proses undang-undang, dengan tidak melakukan
perkara-perkara yang boleh merumitkan lagi keadaan.
“Pada masa sama, saya menyeru orang ramai turut menghormati
proses perundangan, tanpa membuat sebarang spekulasi, dengan cuba mendahului
tugas polis, pendakwa dan hakim dengan menjatuhkan hukuman di media sosial.
“Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, sewajarnya kita
menaruh sepenuh keyakinan kepada institusi kehakiman negara, dalam menegakkan
keadilan dan kebenaran,” katanya. — Bernama
Didakwa tuduhan merogol, MB gesa exco Perak ambil cuti
Reviewed by Faceless
on
01:34
Rating:
No comments: