Timbalan Setiausaha Agung DAP, Teresa Kok berkata, lesen operasi Lynas Malaysia iaitu kilang bahan nadir di Gebeng, Kuantan dilanjutkan enam bulan lagi dengan syarat.
“Bukankah itu sudah cukup untuk memberitahu anda bahawa kami memberi peluang kepada Lynas untuk memperbaiki dan memenuhi syarat,” katanya.
Loading...
Teresa, yang juga Menteri Perindustrian Utama, adalah seorang daripada 13 menteri yang sebelum ini menandantangani satu ikrar pada 2012 untuk menutup kilang penapisan Lynas ketika mereka adalah di pihak pembangkang.
Beliau ditemui selepas majlis penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan 'Love MY Palm Oil 90 Short Film di sini hari ini.
Lembaga Perlesenan Tenaga Atomik (AELB), pada Khamis, mengumumkan bahawa kerajaan melanjutkan lesen operasi kepada kilang memproses bahan nadir itu yang dimiliki oleh syarikat pelombong dari Australia, Lynas Corp untuk enam bulan lagi.
Lesen operasi Lynas terdahulu ini dilanjutkan untuk tiga tahun dari 2016 hingga 2 September tahun ini. Bagaimanapun, dengan pembaharuan lesennya itu, Lynas perlu mematuhi beberapa syarat yang dikenakan ke atasnya.
Antaranya, mengalihkan proses keretakan dan larut resap yang kini dikendalikan di kilangnya di Gebeng di sini ke negara lain dan pembinaan satu kemudahan pelupusan kekal.
Lynas hendaklah juga menamatkan semua aktiviti penyelidikan dan pembangunan berhubung dengan penggunaan sisa radioaktif WLF sebagai tanah kondi di tanah pertanian.
Ditanya gesaan penasihat DAP, Lim Kit Siang kepada pimpinan parti itu supaya berhenti berbalah dengan pemimpin Pakatan Harapan lain, atau berhadapan risiko perpecahan dalam gabungan itu, Teresa berkata gesaan itu jangan disalah tafsir.
"Beliau tidak bercakap secara begitu sebenarnya, beliau hanya berkata perpaduan dan keharmonian adalah penting”, katanya. - Bernama
'Enam bulan sahaja peluang Lynas perbaiki, penuhi syarat'
Reviewed by Faceless
on
05:07
Rating:
No comments: