Akibat menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam serta
menghina kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim di media sosial,
seorang penjaja hari ini dijatuhkan hukuman penjara 30 bulan oleh Mahkamah
Sesyen di Kuala Lumpur.
Hakim MM Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman itu terhadap
Chow Mun Fai, 43, selepas dia mengaku bersalah ke atas kelapan-lapan pertuduhan
yang dihadapinya pada 18 Jun lepas dan hari ini ditetapkan untuk mahkamah
menjatuhkan hukuman.
Edwin sebelum menjatuhkan hukuman berkata mahkamah tidak
boleh menerima perbuatan tertuduh yang memberi pelbagai komen negatif terhadap
agama orang lain.
Loading...
"Tindakan tertuduh menghina kematian Muhammad Adib
dikala semua orang sedang meratapi dan berkabung di atas kematiannya juga tidak
dapat diterima oleh mahkamah.
"Perbuatan dilakukan tertuduh adalah melampau dan
melebihi had kebebasan bersuara," kata hakim itu yang turut memaklumkan
perbuatan dilakukan tertuduh adalah dirancang kerana komen berkenaan dibuat
berulang kali.
Edwin menjatuhkan hukuman penjara antara tujuh bulan hingga
30 bulan bagi kelapan-lapan pertuduhan itu dan memerintahkan hukuman tersebut
berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 6 Mac lepas.
Mengikut pertuduhan pertama, Chow didakwa menggunakan
aplikasi Twitter dengan akaun profil 'Alvin@Alvin15358333', membuat kenyataan
berhubung kematian Muhammad Adib, yang mungkin mengapi-apikan kaum Melayu
dengan bukan Melayu pada 8.07 pagi, 13 Februari lepas, mengikut Seksyen 505(c)
Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau
kedua-duanya.
Dia turut dituduh atas tiga pertuduhan memuat naik hantaran
yang menghina Nabi Muhammad SAW, yang mungkin menyebabkan suasana tidak harmoni
di antara penganut Islam dan bukan Islam, di laman media sosial yang sama pada
jam 2.29 petang dan 7.06 petang, 2 Mac dan 13 Mac lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun
Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun.
Dia juga menghadapi empat lagi pertuduhan iaitu secara sedar
menggunakan profil Twitter sama telah membuat penghantaran komunikasi bersifat
jelik, dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada masa dan tempat sama.
Bagi pertuduhan-pertuduhan tersebut, dia didakwa di bawah
Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum
mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak melebihi
RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya
dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan
itu diteruskan selepas pensabitan.
Semua hantaran itu dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan
Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat
Polis Bukit Aman, Menara KPJ, di Kuala Lumpur, pada jam 8.30 malam, 3 Mac
lepas.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad
Asyraf Md Kamal, manakala tertuduh diwakili peguam Mohan Raj.
Pada 18 Jun lepas, Muhamad Asyraf ketika membuat hujahan,
memohon hukuman berat serta hukuman penjara berasingan dikenakan terhadap
tertuduh, yang sengaja menimbulkan provokasi dan secara terang-terangan
menghina agama dan kaum lain manakala peguam P Rajsurian yang mewakili tertuduh
merayu hukuman penjara berjalan serentak bermula dari tarikh anak guamnya ditangkap
pada 6 Mac lepas.
- Bernama
Hina nabi, kematian Adib - penjaja dipenjara 30 bulan
Reviewed by Faceless
on
00:55
Rating:
No comments: