Selepas bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan
anak lelakinya Datuk Mohd Nazifuddin disaman Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),
kini anak perempuannya pula diarah membayar RM10.3 juta cukai pendapatan yang
tidak dibayar dari 2011 hingga 2017.
Kerajaan Malaysia selaku plaintif memfailkan writ saman dan
pernyataan tuntutan itu melalui LHDN pada 24 Julai lepas di Mahkamah Tinggi
Shah Alam, Selangor, dengan menamakan Nooryana Najwa Mohd Najib, 31, sebagai
defendan.
Loading...
Mengikut penyataan tuntutan itu, Kerajaan Malaysia mendakwa
Nooryana Najwa gagal mengemukakan Borang-Borang Nyata Orang Perseorangan di
bawah Seksyen 77 Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun-tahun taksiran 2011
hingga 2017 kepada LHDN.
Kerajaan Malaysia berkata oleh itu satu taksiran di bawah
subseksyen 90(3) Akta Cukai termasuk penalti telah dibangkitkan melalui
Notis-Notis Taksiran bertarikh 15 Mac 2019.
Kerajaan Malaysia mendakwa, oleh kerana Nooryana Najwa gagal
membayar jumlah cukai pendapatan dari tahun 2011 sehingga 2017 itu dalam tempoh
30 har dari tarikh penyampaian Notis Taksiran yang ditetapkan di bawah Seksyen
103 Akta Cukai Pendapatan 1967, maka kenaikan cukai 10 peratus telah dikenakan.
Plaintif berkata defendan masih gagal menjelaskan keseluruhan
cukai pendapatan bersama kenaikan 10 peratus yang masih terhutang itu dalam
tempoh 60 hari yang ditetapkan di bawah Seksyen 103 itu menjadikan kenaikan
cukai sebanyak lima peratus lagi dikenakan terhadap defendan.
Kerajaan Malaysia mendakwa sehingga kini defendan masih
gagal membayar amaun cukai pendapatan yang masih terhutang termasuk dengan
kenaikan yang kesemuanya berjumlah RM10,335, 292.36.
Jumlah itu ialah RM2,807,452.42 (2011), RM30,738.28 (2012),
RM6,943,811.07 (2013), RM313,967.02 (2014), RM56,048.65 (2015), RM158,922.46
(2016) dan RM24,352.46 (2017).
Oleh itu kerajaan Malaysia menuntut daripada defendan jumlah
RM10,335, 292.36, faedah atas jumlah RM10,335, 292.36 pada kadar lima peratus
setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh realisasi, kos dan lain-lain
relif yang disifatkan sesuai oleh mahkamah.
Kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes secara ‘e-review’
pada 12 Sept di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam,
S.S.Malini Anne iaitu pihak-pihak yang terlibat mengendalikan kes secara dalam
talian tanpa perlu hadir ke mahkamah.
Pada 25 Jun lepas kerajaan Malaysia melalui LHDN menfailkan
saman terhadap Najib, 66, menuntutnya membayar cukai pendapatan sebanyak RM1.69
bilion bagi tahun taksiran 2011 hingga 2017 dan pada 24 Julai lepas, Mohd
Nazifuddin, 36, juga disaman LHDN memintanya membayar RM37.6 juta cukai
pendapatan yang tidak dibayar dari 2011 hingga 2017.
Pada 24 Julai lepas, LHDN juga menfailkan saman terhadap
bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bagi
menuntutnya membayar wang berjumlah RM57.17 juta terhadap cukai pendapatan yang
tidak dibayar sejak 2012 sehingga 2017.
Ketiga-tiga kes itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala
Lumpur.
- Bernama
LHDN saman anak perempuan Najib tuntut bayar RM10.3 juta cukai pendapatan
Reviewed by Faceless
on
05:24
Rating:
No comments: