Pembayaran yang dibuat Najib Razak kepada dua entiti iaitu
penerbitan mingguan bahasa Cina dan pentadbir laman Facebook tidak secara terus
tetapi melalui orang tengah.
Bekas setiausaha politik bekas perdana menteri itu, Wong Nai
Chee, 50, berkata tindakan berkenaan bagi mengelak cek itu disebarkan di
Facebook.
Saksi yang merupakan seorang peguam berkata ia juga bagi
menghalang pihak lain meraih faedah daripada cek itu untuk meningkatkan
kredibiliti mereka.
Loading...
Wong, saksi kelima pendakwaan berkata cek bernilai RM246,000
ditandatangani Najib, dikeluarkan kepada hartawan, Lim Soon Peng, yang
kemudiannya membuat pembayaran balik kepada Akademi Kewartawanan dan Informasi,
serta AD Network (kedua-dua entiti itu) bagi mengelak daripada disebar di
Facebook.
Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh ketua
pendakwaan dalam kes itu, Gopal Sri Ram pada hari kedua perbicaraan kes Najib
yang didakwa menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3
bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan
jumlah wang sama.
Saksi itu berkata Akademi Kewartawanan dan Informasi
terlibat dalam penerbitan mingguan bahasa Cina manakala AD Network merupakan
pentadbir laman Facebook Ah Jib Gor.
Wong bagaimanapun menjelaskan bahawa Lim tiada kaitan dengan
kedua-dua entiti tersebut.
Sri Ram: Boleh jelaskan kepada Yang Arif Hakim kenapa
cek-cek itu tidak dibayar terus kepada kedua-dua entiti ini?
Wong: Ia dibayar kepada Lim untuk membayar kembali kepada
kedua-dua pihak, kerana kami percayakan Lim, dia tidak akan lari dengan wang
itu dan kedua-dua cek tersebut dibayar untuk perbelanjaan untuk penerbitan
mingguan bahasa Cina serta mentadbir Facebook Ah Jib Gor.
Sri Ram: Kenapa membayar kembali? Apa maksudnya?
Wong: Kalau kami keluarkan cek peribadi perdana menteri,
kami tidak mahu ia disebar di Facebook. Kami memilih untuk membayar seseorang
yang kami percaya. Kami percayakan Lim.
Sri Ram: Kamu menyebut ‘kami’, ‘Kami’ tidak mahu cek disebar
di Facebook. Siapa yang kamu maksudkan sebagai kami?
Wong: Saya sendiri dan PM (Najib).
Wong mengesahkan bahawa beliau telah menerima sekeping cek
bertarikh 21 Jan, 2012, bernilai RM30,000 yang ditandatangani Najib, namun
tidak boleh mengingati bila sebenarnya beliau menerima cek tersebut tetapi
percaya bahawa jumlah itu dibayar kepada penganalisis politik.
Terdapat juga cek bernilai RM2,600 bertarikh 29 Mei, 2012,
yang tidak dapat diingatinya.
Semasa disoal peguam Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili
Najib sama ada beliau didakwa atas tuduhan pengubahan wang haram, Wong berkata:
"tidak, tidak pernah".
Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan
kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan
21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.
Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan
rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di
Kuala Lumpur antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 manakala bagi semua pertuduhan
pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah. - Bernama
‘Najib bayar dua entiti melalui cek kepada orang tengah’
Reviewed by Faceless
on
17:12
Rating:
No comments: