Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa
PetroSaudi International Ltd (PSI) membina kerjasama pelaburan dengan 1MDB
dengan nilai AS$2.5 bilion di mana 1MDB akan menyuntik modal sebanyak AS$1
bilion secara tunai.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol
Azral Ibrahim Halmi, 49, yang mendedahkan perkara itu berkata PSI pula akan
melabur aset mereka yang bernilai AS$2 billion yang mana kedua-duanya (PSI dan
1MDB) bersetuju untuk memberi diskaun dengan meletakkannya pada nilai AS$1.5
bilion sahaja.
Loading...
Membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan kes Najib
melibatkan dana 1MDB, Shahrol Azral berkata, ia bagi membolehkan 1MDB mendapat
pegangan saham 40 peratus dalam projek usahasama tersebut.
Terdahulu, saksi pendakwaan kesembilan itu mengesahkan surat
daripada PSI bertajuk "An initial AS$2.5billion joint venture between PSI
and 1MDB” bertarikh 28 Ogos, 2008 yang dialamatkan kepada Najib.
Katanya, surat itu yang ditandatangani Tarek Obaid iaitu CEO
PSI kepada Najib yang ditunjukkan kepadanya oleh Jho Low.
"Pada perenggan pertama surat tersebut jelas menyatakan
bahawa Tarek Obaid turut berada bersama ketika pertemuan di antara Najib dengan
Prince Turki yang berlaku pada Ogos 2009.
"Perenggan yang sama turut menunjukkan bahawa sebelum
pertemuan antara mereka bertiga, satu pertemuan di antara Najib dengan His
Majesty King Abdullah Abdul Aziz Al-Saud telah berlaku pada Julai 2009 dengan
tujuan untuk memperkukuhkan hubungan dua hala di antara syarikat-syarikat dari
Malaysia dan kerajaan Arab Saudi," katanya.
Menjelaskan mengenai kerjasama pelaburan antara PSI dengan
1MDB, saksi berkata PSI berjanji untuk menyediakan laporan penilaian ke atas
aset yang mereka akan laburkan oleh firma penilai antarabangsa yang mempunyai
reputasi yang baik.
"PSI juga memerlukan perjanjian usahasama
ditandatangani pada atau sebelum 28 Sept 2009. Ini adalah salah satu sebab
mengapa 1MDB kemudiannya telah mengalami tekanan masa untuk menepati tarikh
yang telah ditetapkan.
"Ketika menunjukkan surat-surat ini, Jho Low menekankan
kepada saya bahawa kedua-dua pemimpin iaitu Najib dan Raja Abdullah sangat
bersemangat untuk mewujudkan satu usahasama pelaburan di antara kedua-dua
kerajaan dan kami selaku pihak pengurusan 1MDB akan bertanggungjawab untuk
merealisasikan hasrat kedua-dua pemimpin tersebut.
"Jho Low ketika itu juga ada menyatakan kepada saya
bahawa surat-surat tersebut telah diserahkan kepadanya oleh Najib sendiri.
Selain itu, Jho Low juga ada menyatakan bahawa beliau mempunyai 'networking'
dengan PSI iaitu Prince Turki.
"Jho Low menekankan bahawa ini adalah inisiatif
strategik kerajaan kepada kerajaan maka ia harus disegerakan," katanya.
Tambah beliau, setelah mendengar penjelasan daripada Jho
Low, beliau yakin bahawa usahasama ini perlu dilaksanakan dengan sebaik-baiknya
kerana ia adalah hasrat Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB yang juga merupakan
Perdana Menteri Malaysia iaitu Najib.
"Sebagai CEO 1MDB, saya tertakluk kepada Artikel 117
dalam M&A Syarikat. Kedua, kerana ini merupakan satu perbincangan rasmi dua
hala kerajaan kepada kerajaan, dan bukannya satu urusan perniagaan yang biasa.
"Atas sebab-sebab itulah dan kerana ia juga melibatkan
'national interest' saya telah mengambil pendirian untuk memastikan kelancaran
usahasama ini," katanya.
Katanya, sumber kewangan awal 1MDB hanyalah dana bon
terbitan Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) sahaja.
Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan
kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan
21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.
Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan
rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di
Kuala Lumpur antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 manakala bagi semua pertuduhan
pengubahan wang haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah sedang
berlangsung.
- Bernama
Bekas CEO hurai bagaimana dana 1MDB diselewengkan
Reviewed by Faceless
on
03:53
Rating:
No comments: