"They complained to daddy" (Mereka mengadu kepada
ayah), merujuk kepada ketidakpuasan hati PetroSaudi International Limited (PSI)
terhadap pengurangan pembayaran pinjaman pelaburan daripada AS$330 juta kepada
AS$205 juta daripada 1MDB, Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim
Halmi, 49, ketika membacakan penyataan saksinya berkata ahli perniagaan dalam
buruan Low Taek Jho atau Jho Low memberitahu beliau bahawa pihak PSI amat
kecewa dan tidak berpuas hati mengenai perkara itu.
Loading...
"Jho Low ada berkata 'they complained to daddy' yang
bermaksud Putera Turki Abdullah (wakil dari PSI) telah memaklumkan kepada Raja
Abdullah.
"Saya juga difahamkan oleh Jho Low yang ada perbualan
antara Najib Razak dan Raja Abdullah mengenai isu ini kerana jumlah AS$330 juta
berkenaan sudah dipersetujui.
"Saya kemudiannya terpaksa akur dan mengarahkan
pembayaran 'tranche' terakhir iaitu AS$125 juta dibuat kepada PSI,"
katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Gopal Sri
Ram pada perbicaraan hari ke-14 kes Najib membabitkan 1MDB.
Shahrol Azral berkata beliau telah mengurangkan pembayaran
daripada AS$330 juta kepada AS$205 juta pada 27 Mei 2011 selepas mendapat
maklum balas daripada Ketua Pegawai Kewangan 1MDB, Radhi Mohamad bahawa 1MDB
tidak mempunyai wang mencukupi untuk memenuhi permintaan PSI.
“Saya ada berbincang perkara ini dengan Jho Low mengenai
masalah ini dan Jho Low meminta saya untuk menghantar surat kepada PSI,"
katanya.
Saksi pendakwaan kesembilan itu memberitahu mahkamah bahawa
1MDB telah membuat transaksi pembayaran sebanyak empat kali iaitu pada 20 Mei
2011 (AS$30 juta), 23 Mei 2011 (AS$65 juta), 27 Mei 2011 (AS$110 juta) dan 25
Okt 2011 (AS$125 juta).
Terdahulu, Shahrol Azral berkata Tarek Obaid (pengasas
bersama dan CEO PSI) telah menulis surat kepada Najib bertarikh 18 Feb 2011
mengenai permintaan tambahan pinjaman AS$750 juta bagi menyuntik dana tambahan
pelaburan.
Namun, saksi penting pendakwaan itu berkata selepas
mesyuarat bersama Ahli Lembaga Pengarah 1MDB diadakan pada 4 April 2011, beliau
memberitahu kepada Jho Low bahawa 1MDB kekurangan wang untuk melabur AS$750
juta untuk projek luar negara dan seterusnya meminta pertolongan Jho Low untuk
membuat rundingan dengan pihak PSI bagi menangguhkan atau mengurangkan jumlah
pelaburan yang diminta.
Shahrol Azral berkata lanjutan daripada perbincangan pada
April hingga Mei 2011 antara beliau dan Jho Low, pihak PSI bersetuju untuk
mengurangkan 'draw down request' dari PSI-1MDB JVCo (JVCo) kepada AS$330 juta
pada 12 Mei 2011.
Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan
kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan
21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.
Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan
rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di
Kuala Lumpur antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 manakala bagi semua pertuduhan
pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.
Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence
Sequerah.
- Bernama
‘They compained to daddy’ kata Jho Low berhubung pinjaman PSI - Saksi
Reviewed by Faceless
on
01:36
Rating:
No comments: