Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tidak benar mengatakan pelaksanaan dasar tindakan pengukuhan atau
affirmative action tidak membantu orang Melayu yang masih jauh di belakang
masyarakat Cina di Malaysia.
“Ramai yang telah dibantu dan banyak yang berjaya,” kata
perdana menteri Malaysia ketika menjawab pertanyaan daripada peserta di Forum
Pemimpin Dunia di Columbia University di sini pada Rabu.
Loading...
Dr Mahathir, yang berada di New York sempena Perhimpunan
Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) Sesi ke-74, menyatakan
langkah-langkah telah diambil untuk membetulkan ketidakseimbangan dalam
profesion perubatan, contohnya dengan kehadiran lebih ramai doktor Melayu
sekarang.
“Dalam profesion lain juga kami telah membuat beberapa
pembetulan, ia tidak memuaskan tetapi sekurang-kurangnya kami telah membuat
pembetulan. Dan kini terdapat orang Melayu yang agak baik dalam perniagaan,”
katanya.
“Saya bercakap dengan seorang lelaki malam tadi. Beliau
boleh menerbangkan helikopter dan memiliki banyak helikopter bukan hanya di
Malaysia tetapi seluruh dunia. Beliau diberi peluang dan dia memanfaatkan
peluang itu.
Perdana menteri juga menjelaskan apa yang berlaku sebelum
ini adalah peluang diberi secara bebas tanpa memikirkan keupayaan seseorang
itu.
“Sekarang kita akan lebih selektif untuk mengatasi tabiat
menjual kontrak dan peluang lain yang diberi kepada mereka. Kami mahu
memastikan mereka yang mendapat kontrak melaksanakannya. Sekiranya mereka tidak
(melaksanakannya), kami akan
mengambilnya semula,” katanya.
Dr Mahathir berkata satu perkara yang perlu diterima adalah
sesuatu perlu dilakukan.
“Jika anda tidak melaksanakan tindakan pengukuhan, apakah
yang anda mahu lakukan? Jika anda tidak melakukan apa-apa, ketaksamaan akan
bertambah teruk dan akan wujud ketegangan antara kaum dan antara golongan kaya
dan miskin,” kata perdana menteri.
Dr Mahathir berkata beliau pernah mencuba memberi kepada
mereka yang boleh berjaya, bermakna bantuan diberi kepada mereka yang telah
berjaya.
“Tetapi apabila saya bantu mereka, saya dituduh kronisme.
Rupanya, jika anda tidak mahu dituduh kronisme anda mesti memastikan semua
orang gagal.
“Kerana banyak orang yang gagal, mereka tidak dituduh
sebagai kroni saya. Tetapi mereka yang berjaya semua digelar kroni saya. Jadi
bagaimana anda mahu membetulkan perkara itu - jika anda berjaya anda salah, dan
jika anda gagal anda betul,” katanya. — Bernama
Tuduhan kroni bila berjaya bantu rakyat, kata Dr Mahathir
Reviewed by Faceless
on
01:38
Rating:
No comments: