Ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low
mengarahkan supaya maklumat sulit dan sensitif berhubung projek usaha sama
antara 1MDB dan PetroSaudi International Ltd (PSI) dimusnahkan kerana jika
dokumen itu disalahgunakan akan menggugat kedudukan Najib Razak, Mahkamah
Tinggi di Kuala Lumpur diberitahu hari ini.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim
Halmi, 49, bagaimanapun berkata ada dokumen yang beliau tidak sempat musnahkan
sebagaimana arahan Jho Low berkemungkinan kerana beliau terlepas pandang .
Loading...
“Bagi setiap dokumen “talking points atau action plan” serta
emel-emel yang saya terima daripada Jho Low, beliau akan sentiasa berpesan
kepada saya untuk pastikan dokumen-dokumen tersebut dimusnahkan atas alasan ia
mengandungi maklumat yang amat sulit dan sensitif dan boleh disalahgunakan
untuk menggugat kedudukan Najib secara politik sekiranya ia jatuh ke tangan
yang salah,” katanya.
Merujuk kepada “talking points” daripada Jho Low bertajuk
“Background – Joint Venture Between PetroSaudi (PSI) and 1MDB”, saksi itu
berkata seingat beliau “talking points” itu diberikan kepadanya sebagai
menjawab persoalan-persoalan yang perlu pihak 1MDB menjawab kepada rakyat
berhubung isu 1MDB.
“Talking points ini mengandungi butiran terperinci usaha
sama dengan PSI bermula dengan sejarah penubuhan PSI dan hubungan syarikat PSI
dengan Raja Abdullah dan berakhir dengan penamatan perjanjian pinjaman
Murabaha.
“Dokumen ini adalah satu contoh talking points yang
digunakan oleh Jho Low untuk memastikan segala tindakan yang saya ambil adalah
mengikut kehendaknya. Setiap kali dokumen talking points seperti ini diserahkan
kepada saya, Jho Low akan memberitahu bahawa isi kandungannya telah
dibincangkan dan dipersetujui oleh Najib.
“Saya rasa beliau tidak berbohong mengenai perkara itu
kerana kebanyakan masa, saya rujuk semula isi kandungan talking points yang Jho
Low serahkan kepada saya, Najib tidak pernah mengatakan beliau tidak setuju
dengannya dan hanya akan meminta atau mengarahkan saya untuk mengambil tindakan
susulan mengikut kandungan talking points tersebut,” katanya.
loading...
Beliau berkata antara talking points” yang diberikan Jho Low
kepadanya melalui emel ialah “PetroSaudi Joint Venture 2009 & Murabaha
Facility 2010”, “Surat daripada Royal Embassy of Saudi Arabia Kuala Lumpur
kepada YAB Dato Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak berkenaan Letter of
Support re PetroSaudi International bertarikh 11 May 2011”, dan “Surat daripada
Ambassador of Malaysia Kingdom of Saudi Arabia kepada 1MDB berkenaan re: letter
of confirmation re PetroSaudi International bertarikh 7 May 2011”.
“Talking points” itu juga mengandungi butiran usaha sama
1MDB-PSI dan disertai surat-surat dari Duta Arab Saudi yang menyokong syarikat
PSI, Duta Malaysia ke Arab Saudi yang menyokong Prince Turki dan Tarek Obaid
(CEO PSI) yang menyatakan status baik syarikat PSI,” katanya.
Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata secara amnya,
dokumen-dokumen sokongan itu adalah untuk memberikan keyakinan bahawa PSI
adalah syarikat yang mempunyai reputasi yang baik dan boleh dipercayai.
Membacakan penyataan saksi setebal 270 muka surat, Shahrol
Azral berkata merujuk kepada “Director Circular Resolution in writing passed
pursuant to the Company Article of Association on proposed repayment and
termination of murabaha facility agreement dated 20 June 2012” ia bertujuan
untuk pembayaran bagi melangsaikan hutang Murabaha PSI dan menamatkan
perjanjian Murabaha tersebut.
Katanya transaksi itu diaturkan oleh Jho Low dan diuruskan
oleh Jasmine Loo (peguam 1MDB) supaya wang 1MDB yang dipinjamkan kepada PSI
boleh dibawa pulang secara berperingkat.
“Berdasarkan action plans yang disalinkan kepada saya
melalui emel daripada Jho Low kepada Jasmine Loo, segala tindakan pertukaran
Nota Murabaha kepada ekuiti PSOSL (PetroSaudi Oil Services) dan seterusnya ke
dalam bentuk fund units telah ditaklimatkan kepada Najib dan dipersetujui oleh
beliau,” katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan
Gopal Sri Ram pada perbicaraan hari ke-14 kes bekas perdana menteri itu
membabitkan dana 1MDB.
Semalam saksi itu memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa Jho Low
mencadangkan supaya projek usaha sama antara 1MDB dan PSI yang tidak aktif
diubah dari bentuk ekuiti kepada bentuk Nota Murabaha kerana 1MDB tidak boleh
menamatkan usaha sama itu begitu sahaja kerana ia melibatkan hubungan dua hala
antara Arab Saudi dan Malaysia.
Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan
kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan
21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.
Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan
rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di
Kuala Lumpur antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 manakala bagi semua pertuduhan
pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.
Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence
Sequerah.
- Bernama
'Jho Low arah musnahkan dokumen sulit usaha sama 1MDB-PSI'
Reviewed by Faceless
on
01:40
Rating:
No comments: