Mahkamah Sesyen Ipoh menetapkan lima hari bermula 11 Nov ini
untuk perbicaraan kes membabitkan Exco kerajaan negeri, Paul Yong Choo Kiong
yang didakwa atas tuduhan merogol pembantu rumahnya warga Indonesia, Julai
lepas.
Hakim Norashima Khalid membuat keputusan itu semasa sebutan
semula kes itu di sini, hari ini.
Loading...
Yong yang juga Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan,
Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak didakwa
mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan mengaku tidak bersalah pada 23 Ogos
lepas.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tronoh itu didakwa
melakukan kesalahan tersebut di sebuah bilik di tingkat atas rumahnya di Meru
Desa Park, antara 8.15 malam hingga 9.15 malam pada 7 Julai.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Azhar
Mokhtar, Ainul Wardah Shahidan dan Naidatul Athirah Azman, manakala Yong
diwakili peguam bela Ram Karpal Singh dan disertai Farhan Sapian, Adun Malim
Nawar, Leong Cheok Keng dan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer.
Ram Karpal ketika prosiding sebutan semula memohon mahkamah
menetapkan satu tarikh sebutan semula sebelum perbicaraan kerana pihaknya baru
menerima 47 dokumen forensik dan saintifik serta berkemungkinan mendapatkan
pakar sendiri untuk mengkaji semua dokumen itu.
Norashima kemudian menetapkan 22 Okt ini sebagai sebutan
semula kes berkenaan.
Sementara itu, Azhar memberitahu seramai 24 saksi akan
dipanggil sepanjang tempoh perbicaraan yang ditetapkan oleh mahkamah.
Terdahulu, Yong yang berkemeja putih dan sut biru gelap tiba
di mahkamah kira-kira pukul 8.45 pagi dan kira-kira 200 penyokongnya hadir ke
mahkamah melaungkan kata-kata sokongan kepada beliau.
Dalam pada itu, peguam pemerhati yang dilantik keluarga
mangsa, Gabriel Susayan berkata pihaknya akan meminta keluarga pembantu rumah
terbabit yang mendakwa terdapat pengaruh politik dalam kes berkenaan, supaya
membuat laporan polis.
“Saya telah menemui ibu mangsa Jumaat lepas dan akan menemui
mangsa dalam masa terdekat. Terdapat beberapa peguam hendak menemui mangsa
tetapi tidak dibenarkan. Sebagai peguam pemerhati, kami perlu melindungi dan
menjaga kebajikannya," katanya kepada pemberita di luar kamar mahkamah.
Wakil Konsulat Kedutaan Indonesia di Malaysia, Sabda Tian
berkata keluarga pembantu rumah warga Indonesia berusia 23 tahun itu berharap
kebenaran dapat ditegakkan dengan adil.
"Kami mengharapkan semoga keputusan yang terbaik semasa
tempoh perbicaraan dan yakin pemerintah Malaysia serius terhadap kes melibatkan
korban (mangsa) demi keamanan buat semua pihak," katanya.
- Bernama
Bicara kes rogol babitkan exco Perak bermula 11 Nov
Reviewed by Faceless
on
00:39
Rating:
No comments: