Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini menetapkan 6 Dis
untuk pengurusan kes Riza Shahriz Abdul Aziz, anak tiri kepada bekas perdana
menteri, Najib Razak yang didakwa atas tuduhan pengubahan wang haram berjumlah
AS$248 juta (RM1.25 bilion), hasil daripada penyelewengan dana 1MDB.
Hakim Rozina Ayob menetapkan tarikh itu setelah bekas Hakim
Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram memberitahu mahkamah bahawa pendakwaan masih
belum melengkapkan beberapa dokumen yang berkaitan dengan kes itu.
Loading...
"Pihak pendakwa memerlukan sedikit masa untuk
mendapatkan beberapa dokumen yang berkaitan dengan kes itu. Semua dokumen akan
selesai dalam masa terdekat dan dokumen lain telah dikemukakan kepada
pembelaan," katanya ketika sebutan kes hari ini.
Peguam Hariharan Tara Singh yang mewakili Riza, 42,
mengesahkan perkara itu.
Sri Ram juga memaklumkan mahkamah bahawa mahkamah tinggi
semalam telah menolak permohonan pihak pembelaan untuk memindahkan kes itu dari
mahkamah sesyen ke mahkamah tinggi dan kes itu akan diteruskan di mahkamah ini.
Pada 9 Ogos, Rozina menetapkan 6 hingga 9 Jan dan 13 Jan
untuk perbicaraan.
Pada 5 Julai lalu, Riza, pemilik syarikat Red Granite
Pictures, mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan.
Bagi pertuduhan pertama, penerbit filem Wolf of The Wall
Street itu didakwa telah melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu
menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah AS$1.173,104 melalui satu
transaksi pemindahan wang daripada akaun bernombor 11116073 milik Good Star
Limited di RBS Coutts, Zurich, Switzerland ke akaun City National Bank, Los
Angeles, AS bernombor 123248291 milik Red Granite Productions Inc.
Wang berkenaan didakwa hasil daripada penyelewengan ke atas
dana 1MDB.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 April dan 12
Mei 2011 di City National Bank, Los Angeles Main, 525 South Flower Street, Los
Angeles, California, Amerika Syarikat.
Riza, anak Rosmah Mansor hasil perkahwinan terdahulu,
dituduh melakukan kesalahan sama melibatkan AS$9 juta melalui transaksi
pemindahan wang dari akaun serupa pada 10 September, 2012 dan 10 Oktober 2012
di tempat sama.
Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, dia didakwa melakukan
perbuatan sama berjumlah AS$133 juta dan AS$60 juta melalui satu transaksi
pemindahan wang daripada akaun bernombor 81134378 milik Aabar Investment PJS
Limited di BSI SA, Lugano, Switzerland ke akaun BSI Bank Limited Singapura
bernombor 6C02250A milik Red Granite Capital Ltd.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di BSI Ltd, 7 Temasek
Boulevard, #32-01 Suntec Tower One, Singapura pada 18 Jun 2012 dan 23 Oktober
2012.
Mengikut pertuduhan kelima, tertuduh didakwa melakukan
kesalahan serupa berjumlah US$45 juta di tempat sama pada 14 November
2012.Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang
Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001
dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman
denda tidak lebih RM5 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau
kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
-Bernama
Pengurusan kes pengubahan wang haram AS$248 juta Riza Aziz pada 6 Dis
Reviewed by Faceless
on
00:33
Rating:
No comments: