Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa
Najib Razak mengarahkan untuk meneruskan pinjaman bon Nota Jangka Sederhana
Islam (IMTN) yang dimohon oleh Terengganu Investment Authority Berhad (TIA)
berjumlah RM5 billion walaupun Sultan Mizan Zainal Abidin yang merupakan Seri
Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ketika itu menitahkan pinjaman IMTN
digantung dan ditangguhkan dahulu.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB dan TIA, Shahrol
Azral Ibrahim Halmi, 49, berkata setelah menandatangani resolusi yang
dikemukakan Sultan Mizan untuk menggantungkan IMTN dan terbitan IMTN
ditangguhkan.
Loading...
Saksi kemudian berjumpa Najib di rumahnya di Jalan Langgak
Duta, di Kuala Lumpur, pada 22 Mei 2009, pada pukul 8 malam bagi memaklumkan
perkara itu.
Shahrol Azral Ibrahim Halmi
"Setelah menandatangani resolusi itu di Istana
Terengganu pada hari yang sama iaitu pada 22 Mei 2009, saya menelefon Jho Low
(penasihat TIA) dan memaklumkan apa yang berlaku....
“Dia terkejut dan meminta masa untuk menyelesaikan masalah
tersebut dan memaklumkan akan menghubungi saya semula. Selepas beberapa ketika,
Jho Low ada menghubungi saya semula dan meminta saya pergi ke rumah bekas
perdana menteri itu.
"Dalam masa yang sama, saya ada menghubungi Casey Tang
(pengarah eksekutif 1MDB) dan memaklumkan status tersebut dan meminta beliau
berbincang dengan Ambank sekiranya memerlukan IMTN digantung.
"Casey memaklumkan ia tidak boleh digantung kerana
perjanjian telah dimeterai dan pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu juga
memaklumkan sebahagian bon itu telah dibeli semasa book building exercise
(tempah). Ia dikira melanggar perjanjian yang sudah dimeterai," katanya.
Ketika sampai di rumah Najib, saksi berkata beliau mendapati
Jho Low dan Najib sudah sedia menunggu di ruang tamu dan mereka berkelihatan
seolah-olah sudah berbincang dan menunggu ketibaanya.
Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata, beliau menjelaskan
kepada Najib bahawa Sultan Mizan menitahkan bon digantung dan Ambank pula tidak
membenarkan ia digantung disebabkan faktor perjanjian yang telah ditandatangani
lebih awal sebelum titah Sultan Mizan.
"Jho Low memaklumkan bahawa disebabkan IMTN dijamin
Kerajaan Persekutuan, maka pengantungan di peringkat akhir ini akan menyebabkan
kehilangan keyakinan pelabur terhadap bon-bon kerajaan Malaysia. Najib bertanya
kepada saya sama ada saya tahu kenapa DYMM Tuanku murka dan saya telah menjawab
saya tidak tahu.
"Beliau (Najib) bertanya balik adakah saya diberikan
sesalinan resolusi tersebut dan saya memberitahu tidak mendapat. Kemudian
beliau telah memberitahu dalam ayat lebih kurang seperti berikut: You go ahead,
I will talk to Tuanku.
"Saya menerima ia sebagai arahan dan mandat daripada
perdana menteri merangkap menteri kewangan untuk meneruskan IMTN kerana beliau
merupakan menteri yang bertanggungjawab memberikan Jaminan Kerajaan tersebut.
Jho Low juga mendengar arahan itu, kemudian saya terus pulang manakala Jho Low
masih lagi tinggal di rumah Najib," katanya.
Ketika menjelaskan mengenai penerbitan IMTN, saksi berkata
Jho Low dan Casey telah berurusan terus dengan AmInvestment Bank sebagai 'Lead
Arranger' dan juga beberapa perunding yang dilantik untuk memuktamadkan
perjanjian IMTN ini.
"Mereka berdualah yang meneliti dan menyemak kesemua
butiran dalam perjanjian-perjanjian tersebut. Saya tidak terlibat di peringkat
ini kerana ini merupakan bidang dan kepakaran mereka berdua.
"Setelah perjanjian-perjanjian ini siap, Casey dan
pihak AmInvesment Bank telah membawa perjanjian tersebut kepada saya untuk
ditandatangani. Saya mempercayai bahawa kesemua butiran dalam perjanjian ini
telah dipersetujui oleh semua pihak termasuk stakeholders (DYMM Tuanku Mizan
dan Najib) kerana ia telah diteliti dan disemak oleh Jho Low dan Casey
Tang," katanya.
Katanya, beliau menurunkan tandatangan terhadap
dokumen-dokumen perjanjian tersebut berdasarkan resolusi kelulusan penurunan
kuasa kepadanya oleh Ahli Lembaga Pengarah (BOD) TIA.
Beliau juga berkata, Sultan Mizan juga menitahkan BOD TIA
untuk melantik adinda Baginda iaitu YAM Tengku Datuk Rahimah Almarhum Sultan
Mahmud Al-Muktafi Billah Shah untuk menjadi salah seorang pengarah TIA bagi
mewakili kepentingan negeri Terengganu.
"Ia bertujuan untuk memastikan perjanjian IMTN ini
tidak membelakangkan kepentingan negeri Terengganu kerana tujuan asal penubuhan
TIA adalah untuk dana kekayaan berdaulat Terengganu," katanya.
Terhadap soalan tambahan oleh Sri Ram bagaimana saksi tahu
bahawa Jho Low dan tertuduh telah berbincang ketika dia memasuki rumah
tertuduh, saksi itu berkata dia membuat kesimpulan itu setelah Najib bertanya
kepadanya mengapa Sultan kecewa dan sama ada dia mempunyai salinan resolusi.
Sri Ram: Apa suasana di mesyuarat itu? Bagaimana tanggapan
anda?
Shahrol Azral: Saya akan mengatakan bahawa ia adalah tenang,
saya menjangka ia menjadi lebih tegang. Sungguh-sungguh ia adalah tenang,
walaupun saya fikir ia harus lebih tegang.
Sri Ram: Kenapa anda menjangkakan begitu ?
Shahrol Azral: Kerana ini adalah masalah besar dan ini
melibatkan Yang di-Pertuan Agong dan di mana kita mempunyai bon bernilai RM5
bilion, yang merupakan bon Islam pertama selama 30 tahun, yang dikeluarkan oleh
kerajaan. Jadi, sebagai menteri kewangan, saya menjangkakan lebih banyak
pertanyaan.
Sri Ram: Di manakah Jho Low apabila tertuduh berkata go
ahead, I will talk to Tuanku?
Shahrol Azral: Dia ada di sana, saya tidak perasan, dia
berkata apa-apa.
Sri Ram: Adakah terdapat perbualan dengan Jho Low dan
tertuduh? Saksi menjawab "Saya tidak boleh ingat"
Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menyalahgunakan
kedudukannya untuk menerima rasuah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21
pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang yang sama.
Ahli Parlimen Pekan itu dituduh melakukan empat kesalahan
itu di AmIslamic Bank Berhad, Cawangan Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di Kuala
Lumpur antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014, dan untuk 21 lagi pertuduhan
antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat yang sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah
diteruskan.
- Bernama
Bon TIA: Agong titah gantung, Najib kata teruskan, kata saksi
Reviewed by Faceless
on
17:05
Rating:
No comments: