Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa bekas perdana
menteri Najib Razak telah mengarahkan agar Terengganu Investment Authority
Berhad (TIA) menukar penandatangan akaun syarikat itu bagi menjamin dana Nota
Jangka Sederhana Islam (IMTN) berjumlah RM5 bilion yang telah berada di dalam
akaun TIA.
Bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB dan juga TIA, Shahrol
Azral Ibrahim Halmi, 49, ketika membacakan penyataan saksinya berkata arahan
penukaran penandatangan akaun syarikat melalui resolusi yang sah, dikeluarkan Najib
melalui ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, yang dikenali sebagai Jho
Low.
Loading...
Merujuk kepada 'TIA Berhad Directors’ Resolution (DCR TIA) '
bertarikh 27 Mei 2009, Shahrol Azral berkata resolusi itu bertujuan untuk
menukar penandatangan (authorised signatories) di setiap dokumen atau urusan
melibatkan TIA bagi menjaga kepentingan kerajaan persekutuan kerana dana
terbitan IMTN adalah di bawah jaminan kerajaan persekutuan dan telah pun masuk
ke dalam akaun TIA.
"Saya dan Tan Sri Ismee Ismail (ketika itu pengarah
TIA) telah tandatangani DCR pada 27 Mei 2009," katanya semasa pemeriksaan
utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Gopal Sri Ram pada perbicaraan hari
ke-12 kes Najib membabitkan 1MDB.
Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata terdapat juga
dokumen daripada Menteri Besar Terengganu Incorporated (MBI) mengenai resolusi
TIA pada 22 Mei 2009 untuk menggantung IMTN, yang disokong oleh MBI Terengganu.
"Ini menunjukkan konflik di antara MBI Terengganu dan
kerajaan persekutuan masih belum diselesaikan sepenuhnya," jelasnya.
Sementara itu, Shahrol Azral berkata adinda kepada Sultan
Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, YAM Tengku Rahimah binti Almarhum Sultan
Mahmud Al-Muktafi Billah Shah telah mengeluarkan surat bertarikh 27 Mei 2009
kepada Ahli Lembaga Pengarah (BOD) TIA bagi memaklumkan hasrat baginda untuk
meletak jawatan.
“Tujuan surat ini dikeluarkan oleh YAM Tengku Rahimah adalah
untuk memaklumkan kepada BOD TIA bahawa baginda berhasrat untuk meletak jawatan
sebagai salah seorang daripada Pengarah TIA dalam kadar segera.
“Baginda turut memaklumkan melalui surat ini bahawa baginda
tidak akan membuat sebarang tuntutan atau pampasan dalam sebarang bentuk kepada
TIA berikutan kepada peletakan jawatan baginda,” katanya.
Selepas YAM Tengku Rahimah meletak jawatan sebagai pengarah
TIA, Shahrol Azral berkata beliau merasa tidak selesa kerana ia melibatkan
golongan atasan lalu telah meminta pandangan daripada Jho Low.
“Jho Low memaklumkan kepada saya bahawa Najib akan
mencadangkan agar kerajaan persekutuan mengambil alih TIA kerana terdapat bon
RM5 bilion yang dijamin oleh kerajaan persekutuan.
“MOF Inc. akan mengambil alih share MBI Terengganu dan membayar
semula saham mereka. Ini bermakna TIA akan menjadi syarikat milik penuh MOF Inc
dan dananya dijamin oleh kerajaan persekutuan,” katanya.
Terdahulu, saksi utama pendakwaan itu berkata beliau telah
menandatangani surat rasmi daripada TIA bertarikh 27 Mei 2009 kepada pihak
AmInvestment Bank.
“Ia adalah tindakan daripada pihak saya (TIA) untuk
mengarahkan pihak AmInvestment Bank bagi meneruskan terbitan IMTN. Dengan surat
ini, AmInvestment tetap meneruskan terbitan IMTN sepertimana maklum balas
kepada surat itu,” katanya.
Shahrol Azral turut memaklumkan bahawa pihaknya telah
menandatangani lapan perjanjian Murabahah Purchases antara TIA dan AmInvestment
Bank Berhad bertarikh pada 26 Mei 2009 bagi terbitan bon IMTN berjumlah RM5
bilion.
“Saya telah tandatangani kesemua dokumen perjanjian ini di
ruangan 'for and on behalf of Terengganu Investment Authority Berhad',”
katanya.
Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan
kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan
21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.
Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan
rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di
Kuala Lumpur antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 manakala bagi semua pertuduhan
pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.
Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence
Sequerah.
- Bernama
Saksi dedah Najib arah Jho Low tukar penandatangan akaun TIA
Reviewed by Faceless
on
17:00
Rating:
No comments: