Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini melancarkan
Kerangka Dasar Luar Malaysia Baru dan berkata ia akan menjadi panduan kepada
negara dalam mengendalikan dasar luarnya dalam persekitaran dunia yang cepat
berubah dan mencabar.
Beliau berkata unsur-unsur asas dasar luar kekal tidak
berubah dan perbezaannya kini adalah dalam pendekatan Malaysia kepada isu-isu
tertentu, yang menjejaskan kepentingannya berdasarkan tiga pendekatan yang
digariskan dalam kerangka itu.
Loading...
“Justeru, tema menyeluruh bagi Kerangka ini ialah ‘Perubahan
Dalam Kesinambungan’. Ini akan menjadi hala tuju kepada pelaksanaan dasar luar
kita.
“Kita hidup di dunia di mana perubahan berlaku dengan
pantas. Perubahan-perubahan ini bukan sahaja memberikan cabaran-cabaran tetapi
juga peluang-peluang. Justeru, adalah munasabah Malaysia tidak kekal dengan
kaedah-kaedah libat urus tradisional dan sebaliknya secara proaktif meneroka
pendekatan-pendekatan baharu,” katanya ketika melancarkan kerangka itu di sini.
Turut hadir pada pelancaran itu ialah Menteri Luar Saifuddin
Abdullah; Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali; Menteri Air, Tanah dan Sumber
Asli Xavier Jayakumar; Menteri Industri Utama Teresa Kok; Timbalan Menteri Luar
Marzuki Yahya; Peguam Negara Tommy Thomas dan Ketua Polis Negara Abdul Hamid
Bador.
Sambil menyifatkan kerangka tersebut sebagai sebuah dokumen
hidup, perdana menteri berkata beliau yakin dokumen setebal 80 muka surat itu
akan menjadi sumber yang amat bernilai bukan sahaja kepada para diplomat
Malaysia tetapi juga kepada semua pihak yang berminat kepada dasar luar
Malaysia.
“Kerangka ini, pada fikiran saya, telah merangkumi intipati
arah tuju dasar luar pentadbiran sekarang.
“Apa yang lebih penting, ia juga mencakupi isu-isu penting
yang telah saya bangkitkan dalam ucapan saya pada Perhimpunan Agung Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu yang ke-73 tahun lepas,” kata beliau.
Dr Mahathir memberi jaminan bahawa Malaysia akan terus
melaksanakan dasar luar yang pragmatik, bebas dan berprinsip, berasaskan
nilai-nilai keamanan, kemanusiaan, keadilan dan kesaksamaan.
Beliau berkata Malaysia juga percaya kepada pengekalan
hubungan bersababat dengan semua negara dan penyelesaian aman kepada
pertikaian, berdasarkan undang-undang dan kelaziman antarabangsa.
“Namun demikian, Malaysia mempunyai hak untuk menyatakannya
pendiriannya dan, jika perlu menyatakan bantahannya, terhadap ketidakadilan,
penindasan dan jenayah lain terhadap kemanusiaan yang dilakukan terhadap
mana-mana negara.
“Malaysia tidak pernah lari daripada apa yang ia percaya
adalah tanggungjawab dan komitmen kepada kemanusiaan,” katanya.
Kerangka itu akan memandu Malaysia dalam melaksanakan dasar
luarnya menerusi penyertaan aktif dalam pelbagai perbincangan di peringkat
antarabangsa di mana Malaysia telah menjadi ahli dan untuk mempengaruhi proses
pembuatan keputusan perbincangan peringkat antarabangsa di mana Malaysia tidak
menjadi ahli, di samping membentuk perbincangan berkaitan isu-isu yang baru
muncul seperti Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dan "Ekonomi Biru".
“Cabaran-cabarannya adalah besar dan pertaruhannya adalah
tinggi. Bagaimanapun Malaysia akan tetap bertegas dalam mengejar
matlamat-matlamat dasar luarnya berdasarkan prinsip keadilan dan berlaku adil.
Saya optimistik kita akan berjaya mencapai matlamat-matlamat ini,” kata beliau.
Dr Mahathir juga berkata alam dasar luar adalah sfera
antarabangsa, tidak boleh dipisahkan daripada realiti-realiti dalam negeri.
“Mudah cakap, dasar luar bermula di rumah. Dalam hubungan
ini, dasar luar tidak akan berkesan sekiranya ia bertentangan dengan
jangkaan-jangkaan dan realiti-realiti dalam persekitaran domestik.
“Justeru, saya perlu menekankan akan kepentingan kerjasama
antara agensi dalam melaksanakan dasar-dasar yang telah digubal oleh kerajaan,”
kata beliau.
- Bernama
Dasar luar baru: M'sia tetap tegas bersuara - PM
Reviewed by Faceless
on
16:35
Rating:
No comments: