Risau tak dibicara dengan adil, Ku Nan fail notis usul mohon hakim tarik diri

Datuk Tan Eng Boon (kiri), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor

Mahkamah Tinggi hari ini, menangguhkan kepada esok, perbicaraan kes rasuah bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor membabitkan kelulusan menaikkan ratio pembangunan di Jalan Semarak.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menangguhkan perbicaraan yang sepatutnya bermula hari ini selepas pihak pembelaan mengemukakan notis usul supaya Mohd Nazlan menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes itu.

Peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Tengku Adnan memberitahu mahkamah, notis usul yang difailkan pihaknya adalah termasuk bagi memohon supaya kes itu dipindahkan ke mahkamah tinggi lain.

Loading...
Hock Chuan berkata, dalam notis usul itu difailkan pada 18 September lalu itu, pihaknya menyatakan permohonan itu dibuat kerana ia adalah wajar dan adil untuk anak guamnya, lapor Berita Harian.

Katanya, ia berikutan pada 17 September lalu,Mohd Nazlan mengenakan hukuman denda RM1.5 juta terhadap Bekas Pengarah Paragon City Development, Datuk Tan Eng Boon, 71.

Ia berikutan Eng Boon menukar pengakuan salah terhadap tuduhan pilihan iaitu bersubahat dalam perlakuan salah Tengku Adnan yang menerima rasuah wang tunai RM1 juta darinya (Eng Boon), enam tahun lalu.

“Alasan lain permohonan itu termasuk, pemohon risau tidak akan mendapat perbicaraan yang adil daripada hakim dan mahkamah sama.


“Pengakuan fakta kes dibentangkan pihak pendakwaan semasa pengakuan salah Eng Boon juga dikhuatiri mempengaruhi hakim sedia ada (Mohd Nazlan).

“Selain itu, pemohon juga dimaklumkan menerusi laporan media bahawa Eng Boon bersetuju untuk memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim memberitahu mahkamah bahawa pihaknya memerlukan masa untuk mengemukakan afidavit balasan bertulis.

“Pihak pendakwaan menerima notis usul itu semalam (Rabu) kira-kira jam 4 petang.

“Sekiranya permohonan notis usul ini ditolak di Mahkamah Tinggi, pihak pembelaan akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan,” katanya.

Prosiding pagi ini dan esok (Jumaat) ditetapkan untuk perbicaraan kes rasuah dihadapi Tengku Adnan bersama Eng Boon selepas mahkamah sama pada 23 Ogos lalu menetapkan dua hari pada 19 dan 20 September 2019 untuk perbicaraan kes itu.

Pada 15 November lalu, Tengku Adnan juga Ahli Parlimen Putrajaya mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menerima suapan iaitu wang berjumlah RM1 juta daripada Eng Boon melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank kepunyaannya (Tengku Adnan).

Perbuatan itu didakwa dilakukan sebagai upah untuk meluluskan permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) bagi menaikkan ratio plot berkaitan dengan pembangunan Lot 228 di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra, Tingkat 2, Blok Podium, Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail di sini pada 27 Disember 2013.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda daripada jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada 9 Ogos lalu, Hakim Mohd Nazlan membenarkan permohonan pendakwaan supaya kes rasuah Tengku Adnan dan Eng Boon dibicarakan bersama.

Bagaimanapun kelmarin, Eng Boon, 71, didenda RM1.5 juta oleh mahkamah sama selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan bersubahat dalam perlakuan salah oleh Tengku Adnan yang menerima untuk dirinya wang tunai RM1 juta di tempat dan tarikh sama.
Risau tak dibicara dengan adil, Ku Nan fail notis usul mohon hakim tarik diri Risau tak dibicara dengan adil, Ku Nan fail notis usul mohon hakim tarik diri Reviewed by Faceless on 22:08 Rating: 5

No comments:

Loading...
loading...
Powered by Blogger.