Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa
lebihan bayaran deposit keselamatan berjumlah AS$790,354,855.00 kepada Aabar
Investment PJS Ltd (Aabar) yang dibayar oleh 1MDB dimasukkan ke akaun milik
Najib Razak untuk tujuan penyelewengan.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim
Halmi, 49, berkata demikian semasa membacakan pernyataan saksinya pada hari
ke-15 perbicaraan kes Najib membabitkan dana 1MDB.
Loading...
“Kesimpulannya, pengambilalihan Genting (Genting Sanyen)
telah selesai melalui pembiayaan menggunakan bridging loan berjumlah RM700 juta
dan terbitan Bon berjumlah AS$1.75 bilion.
“Saya akui memang terdapat lebihan yang sangat banyak
daripada hasil pembiayaan untuk pengambilalihan tersebut,” katanya.
Bagaimanapun saksi pendakwaan kesembilan menegaskan bahawa
beliau langsung tidak tahu menahu bahawa lebihan wang untuk pembayaran deposit
keselamatan berjumlah AS$790,354,855 kepada Aabar adalah untuk diseleweng oleh
pihak lain.
“Pembayaran deposit keselamatan itu dibuat secara penuh
percaya berdasarkan dokumentasi yang disediakan oleh Jasmine Loo (peguam 1MDB)
Terence Geh (Pengarah 1MDB) dan Tim Leissner (Ketua Pegawai Eksekutif Goldman
Sachs Asia).
"Setelah penyiasatan dilakukan barulah saya tahu yang
deposit keselamatan ini diaturkan oleh Jho Low (ahli perniagaan dalam buruan,
Low Taek Jho) untuk membolehkan wang 1MDB masuk ke dalam akaun yang dikawal
olehnya untuk tujuan penyelewengan yang seterusnya dimasukkan ke akaun milik
Najib.
"Sekali lagi, Jasmine Loo sebagai pegawai yang
dipertanggungjawabkan, telah datang kepada saya untuk membentangkan dapatan dan
dokumen yang banyak bagi menunjukkan aspek teknikal kewangan dan proses
pelaburan sepertimana sebelum ini, pemerolehan Tanjong Energy Holding Sdn Bhd
(TEHSB).
loading...
"Beliau menunjukkan dokumen yang meyakinkan saya bahawa
1MDB perlu membayar kepada Aabar Investment PJS Ltd sebanyak AS$790,354,855
yang ditanggung melalui lebihan terbitan Bon AS$1.75 bilion sebagai deposit
keselamatan kepada International Petroleum Investment Co (IPIC) yang merupakan
penjamin Bon tersebut,” katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa
Raya Kanan Gopal Sri Ram.
Saksi penting pendakwaan itu berkata itu merupakan tindakan
yang sama sepertimana beliau menyatakan alasan dalam remittance TEHSB sebelum
ini yang 1MDB perlu lagi sekali membayar deposit keselamatan kepada anak
syarikat IPIC iaitu Aabar sebagai cagaran dan akan dipulangkan semula selepas
tawaran awam permulaan (IPO).
Beliau berkata seperti transaksi TEHSB sebelum ini, beliau
beranggapan yang bayaran itu sudah dipersetujui oleh dua-dua belah pihak iaitu
IPIC dan pemilik saham 1MDB dan Perdana Menteri iaitu Najib.
“Ini adalah kerana rundingan jaminan ini diterajui oleh PMO.
Kemudiannya, saya telah dimaklumkan oleh Jasmine Loo bahawa dokumen remittance
yang berjumlah AS$790,354,855 telah ditandatangani oleh Terence Geh dan Ketua
Pegawai Kewangan (CFO) 1MDB, Azmi Tahir, untuk dibayar ke akaun Aabar
Investment PJS Ltd di BSI Bank SA, Lugano, Switzerland daripada akaun Falcon Private
Bank (Hong Kong) milik syarikat 1MDB Energy (Langat) Limited (1MELL) (anak
syarikat 1MDB).
“Sekali lagi, saya tidak tahu siapa yang menentukan jumlah
pembayaran AS$790,354,855 tersebut yang pada pendapat saya adalah sangat besar
jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan Bond yang diterbitkan sebanyak
AS$1.75 bilion bagi pembelian IPP Genting Sanyen.
“Namun, saya tidak curiga dan tidak mempersoalkannya kerana
pada masa itu saya menganggap ini adalah sesuatu yang sudah dipersetujui oleh
Najib dan pihak IPIC, berdasarkan pelan tindakan dan perbincangan saya dengan
Jho Low,” katanya.
Shahrol Azral berkata beliau juga percaya pada masa tersebut
bahawa wang deposit keselamatan berkenaan akan dikembalikan semula kepada
syarikat apabila IPO bagi perniagaan tenaga syarikat dibuat untuk penyenaraian
di Bursa Saham Kuala Lumpur (KLSE).
Katanya walaubagaimanapun, wang tersebut tidak pernah
dikembalikan semula kepada syarikat walaupun setelah 1MDB gagal melaksanakan
penyenaraian perniagaan tenaga ke KLSE.
Saksi itu berkata bayaran AS$790,354,855 kepada Aabar
Investments PJS Limited dibuat pada 19 Okt 2012.
Beliau berkata proses pengambilalihan Genting, pada
pandangannya dibuat dalam keadaan sangat tergesa-gesa jika dibandingkan dengan
pengambilalihan TEHSB.
Katanya semua kelulusan hanya melalui Director Circular
Resolution (DCR) tanpa dibentangkan dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah (BOD)
1MDB.
“Keadaan tergesa-gesa ini disebabkan tekanan Jho Low yang
menyatakan pinjaman dan jaminan daripada pihak IPIC ini harus disegerakan
kerana ada faktor kerjasama G2G (kerajaan dengan kerajaan) dan juga mesti diselesaikan
sebelum PRU ke-13 untuk memastikan cukup perhatian daripada Najib sebelum
beliau akan sibuk berkempen.
"Selepas daripada itu, saya telah dipindahkan ke Unit
Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) dan jawatan CEO telah diambil
alih oleh Hazem Abdul Rahman.
"Saya tidak tahu menahu secara terperinci kenapa opsyen
Aabar telah ditamatkan kerana saya tidak lagi terlibat secara langsung dalam
sebarang perbincangan dan urusan pihak terbabit. Walau bagaimanapun, saya hanya
tahu maklumat ini secara am sahaja melalui media,” katanya.
Shahrol Azral dilantik sebagai pengarah di Pemandu yang
merupakan unit di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada 15 Mac 2013.
Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan
kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan
21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.
Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan keempat-empat
kesalahan itu di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit
Ceylon di Kuala Lumpur antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 manakala bagi semua
pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat yang
sama. Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.
- Bernama
‘Lebihan bayaran deposit keselamatan AS$790,354,855 masuk ke akaun Najib’
Reviewed by Faceless
on
01:33
Rating:

No comments: