Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek G. Saminathan dan
tiga lelaki hari ini didakwa lagi di Mahkamah Sesyen berhubung kumpulan
pengganas LTTE.
Saminathan, 34, pemandu teksi V. Balamurugan, 37, penghantar
surat S. Teeran, 38, dan peniaga besi buruk A. Kalaimughilan, 28, masing-masing
didakwa dengan pengetahuan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE
menggunakan aplikasi sosial Facebook atas nama berlainan.
Loading...
Saminathan didakwa menggunakan nama ‘Gsami Nanthan Siva',
Balamurugan atas nama 'BALAMURUGAN VEERASAMY', Teeran dengan nama 'TAMMIL
KANNAMAH' dan Kalaimughilan dengan nama 'Kalai Mugilan’.
Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Pegawai
Penyiasat Bahagian E8(M) Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman, di sini
pada 7 Okt dan 8 Okt 2019 pada masa berlainan iaitu 9 pagi, 10 pagi dan 9.30
malam.
Pertuduhan mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan,
yang membawa hukuman penjara sepanjang hayat atau maksimum 30 tahun atau denda
dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan
untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.
Teeran turut didakwa atas pertuduhan memiliki item berkaitan
dengan kumpulan LTTE di kawasan letak kereta B2, Mandarin Pacific Hotel, Jalan
Sultan di sini, pada 11.40 pagi 10 Okt lepas mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun
Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda
dan dilucutkan mana-mana item itu, jika sabit kesalahan.
loading...
Kalaimughilan juga menghadapi pertuduhan memberi sokongan
kepada LTTE dengan cara menggunakan aplikasi media sosial YouTube pada 10 pagi
2 Jun 2014 di lokasi sama.
Dia turut didakwa dengan pengetahuan telah memberi sokongan
kepada kumpulan itu dalam satu majlis di Dewan Tan Sri Soma, Wisma Tun
Sambanthan No 2, Jalan Sultan Sulaiman, Kampung Attap di sini pada 8 malam
hingga 11. 30 malam, 17 Mac 2014.
Kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun
Keseksaan.
Kesemua pertuduhan terhadap keempat-empat tertuduh dibacakan
berasingan di hadapan Hakim Rozina Ayob.
Pada 29 Okt lepas, kesemua mereka didakwa di Mahkamah Sesyen
di beberapa negeri berkaitan kumpulan LTTE.
Saminathan didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka atas pertuduhan
memberi sokongan kepada kumpulan itu dalam satu majlis di Dewan Kasturi Ayer
Keroh, Jalan Utama, Taman Ayer Keroh Heights di sini pada 8.30 malam hingga
10.50 malam, 28 Nov, 2018.
Di Kuala Kangsar, Perak, Balamurugan, menghadapi pertuduhan
memberi sokongan kepada LTTE dalam majlis di Dewan Majlis Perbandaran Kuala
Kangsar Cawangan Sungai Siput (Utara) antara 6.30 petang sehingga 11.45 malam,
28 Dis, 2014.
Kalaimughilan, 28, dituduh di Mahkamah Sesyen Selayang di
sini atas dua pertuduhan memiliki item-item berkaitan dengan kumpulan LTTE di
sebuah rumah di Jalan Anggerik 5D, Bukit Sentosa, Rawang dan di dalam sebuah
kereta di tempat sama, pada 9.30 pagi dan 12.35 tengah hari, 10 Okt lepas.
Teeran, didakwa di Segamat, Johor atas kesalahan sama di
alamat 10M, Jalan Genuang, Kampung Paya Pulai kira-kira 6.30 petang, 10 Okt
lepas. - Bernama
LTTE: ADUN Gadek dan tiga lelaki didakwa lagi
Reviewed by Me
on
22:56
Rating:

No comments: