Mengakui langkah PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menamatkan
perkhidmatan tambah nilai di lorong keluar plaza tol berkuat kuasa 5 Nov lepas
mengundang pelbagai reaksi, pelbagai usaha sedang diambil untuk mengatasi
kesulitan yang dialami pengguna lebuh raya.
Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata PLUS akan
meningkatkan kerjasama dengan penyedia perkhidmatan Touch ‘n Go (TnG) untuk
menyelesaikan kemusykilan yang timbul namun perkara itu akan mengambil sedikit
masa.
Loading...
Ia termasuk penambahbaikan pengurusan berkaitan tambah nilai
TnG bagi memudahkan pengguna melakukan transaksi tambah nilai kad pembayaran
elektronik mereka.
loading...
Pengguna mempunyai pilihan melakukan tambah nilai sama ada
melalui aplikasi dompet elektronik (e-wallet) atau pusat tambah nilai kad TnG
di seluruh negara merangkumi mesin pengeluaran wang automatik (ATM), Hentian
Rehat dan Rawat (R&R), stesen minyak, pasar raya, dan kios layan diri.
“Kita ada 11,000 pusat tambah nilai, 22 kaunter Touch ‘n Go
Spot, 68 mesin tambah nilai, 27 Pusat Khidmat Pelanggan dan 65 lorong tambah
nilai di lorong masuk plaza tol terpilih,” katanya ketika ditemui bual RTM1
untuk rancangan Selamat Pagi Malaysia hari ini.
Beliau mengingatkan pengguna lebuh raya agar tidak keluar
dari kenderaan masing-masing sekiranya tidak dapat melepasi palang tol
berikutan baki TnG tidak mencukupi atas faktor keselamatan.
“Kalau ada masalah, saya minta kerjasama agar jangan keluar
dari kenderaan sebaliknya boleh tekan butang ‘interkom’. Pegawai khidmat
pelanggan PLUS akan bantu anda,” katanya.
Sementara itu, Ketua Komunikasi Korporat, Perhubungan
Komuniti dan Awam PLUS, Syed Mohammed Idid Syed Ahmad Idid berkata pengguna
lebuh raya PLUS perlu memahami bahawa langkah menghentikan perkhidmatan tambah
nilai di plaza tol kepada pengguna TnG adalah untuk mengurangkan kesesakan.
“Kami mendapati bahawa lorong tambah nilai melambatkan lalu
lintas di plaza tol kami. Oleh itu, kami meminta sokongan daripada semua
pengguna jalan raya untuk tidak menggunakan kemudahan tambah nilai di laluan keluar
plaza tol, dan dengan berbuat demikian, semua pemandu akan menerima aliran
trafik yang lancar di plaza tol, “ katanya.
“Laluan tambah nilai di lorong keluar plaza tol adalah untuk
kemudahan pengguna TNG yang tiba-tiba mendapati baki tidak mencukupi dalam kad
mereka, tetapi sekarang ia telah dianggap sebagai kemudahan tambah nilai untuk
semua,” katanya.
Syed Mohammed Idid berkata statistik pada bulan ini di
wilayah Tengah menyaksikan kira-kira 98.7 peratus pemandu beralih kepada kaedah
pembayaran tanpa tunai, manakala di wilayah Utara, 95 peratus dan wilayah
Selatan 96 peratus.
“Seperti yang dapat anda lihat di plaza tol, kebanyakan
lorong adalah lorong khusus untuk Smart Tag, RFID dan TnG. Hanya satu atau dua
lorong keluar yang digunakan untuk kenderaan pelbagai kelas dan ini jelas
menunjukkan bahawa majoriti masyarakat di negara ini sudah berurusan tanpa
tunai, “ katanya. — Bernama
Plus: Isu tambah nilai Touch ‘n Go ambil masa untuk diatasi
Reviewed by Me
on
00:49
Rating:
No comments: