Ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho dilaporkan
mendapatkan pasport daripada Cyprus, sebuah negara kepulauan di Mediterranean,
ketika pihak berkuasa hampir dapat mengesannya pada 2015.
Menurut akhbar Cyprus Politis, Low mendapatkan khidmat
broker pasport dan kewarganegaraan, Henley & Partners, untuk tujuan itu.
Loading...
Laporan itu turut dipetik laman Sarawak Report, yang
merupakan pihak awal mendedahkan skandal 1MDB.
Menurut laporan itu, firma itu sebelum ini mendapatkan
pasport daripada sebuah lagi negara kepulauan iaitu Saints Kitts and Nevis
untuk Jho Low, tetapi pasport itu telah dibatalkan susulan siasatan
antarabangsa terhadapnya, yang dipercayai dalang skandal 1MDB.
Laporan itu berkata Low mendapatkan pasport Cyprus melalui
Pelan Pelaburan Cyprus, yang memerlukan pihak yang berminat untuk mendepositkan
sejumlah lima juta euro ke dalam bank Cyprus untuk tempoh tiga tahun, dan
membeli kediaman kekal bernilai paling kurang 500,000 euro.
Low membeli sebuah villa bernilai lima juta euro di sana
pada 23 September 2015 untuk memenuhi syarat itu, kata laporan itu lagi.
Dia tiba di Cyprus pada 18 September 2015 untuk mendapatkan
pasport tersebut.
Menurut laporan itu lagi, Low memerlukan pasport alternatif
untuk memudahkan pergerakannya ketika penyiasat semakin dapat mengesan
jejaknya.
Laporan itu berkata Low diberi pasport itu walaupun
pemeriksaan latar belakang terhadapnya membangkitkan beberapa amaran (red
flag).
Pemeriksaan itu membangkitkan kebimbangan terhadap status
Low sebagai 'politically exposed person' (PEP) serta dakwaan kegiatan
pengubahan wang haram, penipuan dan pelanggaran undang-undang.
PEP ditakrifkan sebagai individu yang diberi kepercayaan
awam dan lebih berkemungkinan untuk terlibat dengan rasuah dan korupsi ekoran
kedudukannya itu.
Laporan itu berkata Henly & Partners tidak memberi
respons ketika diminta mengulas perkara itu.
Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) percaya
sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion telah diselewengkan daripada 1MDB dan kini
bekerjasama dengan Malaysia untuk mendapatkan semula dana tersebut.
Bekas perdana menteri Najib Razak kini dibicarakan atas
dakwaan rasuah sementara Low masih tidak dapat dikesan. - malaysiakini
Selepas hampir dikesan, Jho Low dapat pasport Cyprus
Reviewed by Me
on
17:31
Rating:

No comments: