Polis hari ini menafikan terdapat bendera komunis yang
dikibarkan semasa perarakan seperti yang ditularkan dalam media sosial sejak
malam semalam sebaliknya perarakan tersebut adalah sempena Perarakan Chingay
Pesta Pulau Pinang Ke-11 yang diadakan di Jalan Raja Uda, di Butterworth pada
Ahad.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara SPU ACP Noorzainy
Mohd Noor berkata menerusi rakaman video berdurasi 1 minit dan 15 saat itu,
lelaki yang merakam video perarakan tersebut dengan jelas menyebut bendera
komunis semasa perarakan yang bermula 6 petang Ahad.
Loading...
"Sebenarnya tiada sebarang perarakan yang membawa
bendera komunis berlaku seperti yang ditularkan sebaliknya ia perarakan Chingay
yang disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat dan badan pertubuhan bukan
kerajaan (NGO).
"Perarakan tersebut telah bermula dari Dataran Pemuda
Butterworth hingga ke Jalan Raja Uda yang dianjurkan oleh Pengerusi
Jawatankuasa Pembangunan, Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan Dan Warisan Negeri
Pulau Pinang serta turut dihadiri Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon
Yeow," katanya di Butterworth hari ini.
loading...
Menurutnya berdasarkan siasatan mendapati bendera yang
didakwa perakam video itu sebagai bendera komunis sebenarnya bendera yang
dibawa oleh satu daripada 25 kontinjen perarakan Chingay yang tertera tulisan
KIWANIS iaitu sebuah pertubuhan sukarelawan di Malaysia.
Noorzainy berkata 50 pegawai dan anggota polis telah
bertugas semasa perarakan yang dihadiri lebih 1,000 peserta itu dan mustahil
pihaknya tidak menyedari jika terdapat bendera komunis dikibarkan semasa
perarakan tersebut.
"Dakwaan seperti yang dinyatakan dalam video tersebut
adalah tidak benar sama sekali dan saya ingin menasihatkan orang ramai agar
tidak sewenang-wenangnya menularkan rakaman yang tidak sahih semata-mata untuk
menarik minat netizen yang lain serta menimbulkan kekeliruan," katanya.
Katanya polis kini sedang mengesan lelaki yang merakam dan
menularkan video tersebut untuk membantu siasatan berhubung dakwaannya.
Beliau turut meminta orang ramai agar tidak terus berkongsi
dan menyebarkan video itu serta berhenti membuat sebarang spekulasi kerana
dakwaan dalam video tersebut langsung tidak benar malah ia tiada kaitan dengan
bendera komunis.
- Bernama
Tiada bendera komunis dikibar semasa perarakan Chingay
Reviewed by Faceless
on
16:36
Rating:
No comments: