KLANG — Kira-kira 5,000 orang hadir ke perhimpunan
'Keadilan Untukmu Adib dan Desakan Pecat Waytha Moorthy' yang dianjurkan oleh
Gerakan Rakyat Malaysia (Geras) di Dataran Seni di sini hari ini.
Peserta perhimpunan hadir mengenakan baju berwarna hitam
sebagai tanda sokongan agar mereka yang bertanggungjawab dalam kejadian yang
menyebabkan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim dibawa ke muka
pengadilan dengan segera. \
Loading...
Muhammad Adib yang
parah dipukul ketika insiden di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya bulan
lalu meninggal dunia di Institut Jantung Negara pada 9.41 malam 17 Dis lalu
selepas kira-kira tiga minggu menerima rawatan di institut berkenaan.
Peserta perhimpunan terlebih dahulu berkumpul di Masjid
Bandar Diraja Klang bagi menunaikan solat jenazah ghaib bagi Muhammad Adib dan
solat Asar secara berjemaah yang diketuai imam masjid itu Mohd Azrun Tuniran.
Para peserta perhimpunan mula berarak ke Dataran Seni Klang
yang terletak kira-kira 400 meter dari masjid berkenaan pada kira-kira 5.15 petang sambil mengalunkan selawat ke
atas Nabi Muhammad SAW.
Beberapa pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) turut memberikan
ucapan di perhimpunan berkenaan.
Wakil penganjur, Abu Bakar Mohamed dalam ucapannya menuntut
pihak berkuasa segera mencari dalang insiden yang menyebabkan kematian Muhammad
Adib selain menuntut agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy
dipecat.
Sementara itu, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung,
Zambri Mohd Isa pula menuntut agar suruhanjaya siasatan diraja ditubuhkan
segera bagi memastikan siasatan yang lebih telus tanpa tekanan daripada
mana-mana pihak.
Himpunan berkenaan mendapat sokongan beberapa NGO lain
antaranya Gerakan Srikandi Malaysia, Angkatan Laksamana Bukit Jati Klang, Badan
Amal Tarbiyah Sejagat, Pertubuhan Ikatan Muafakat Serumpun Malaysia dan
Kebajikan Sejagat Malaysia.
Perhimpunan berlangsung tanpa sebarang kekecohan dan peserta
mula beredar meninggalkan lokasi pada kira-kira
6.30 petang. — Bernama
5,000 hadir himpunan tuntut keadilan untuk Adib
Reviewed by Faceless
on
04:50
Rating:
Reviewed by Faceless
on
04:50
Rating:

No comments: