PETALING JAYA — PAS cemburu dengan kejayaan Pakatan
Harapan (PH) sehingga melabel kerajaan baharu ketika ini hanya mampu bertahan
lima tahun sahaja di Putrajaya, kata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia
(Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata dakwaan PAS kononnya tidak wujud persefahaman
di kalangan komponen parti PH jelas menunjukkan sikap mereka yang akan kekal
sebagai pembangkang sampai bila-bila.
Loading...
“Itu biasa daripada PAS dan mereka akan jadi pembangkang
selama-lamanya. Saya pernah berdoa dahulu agar (PH) tidak jadi pembangkang
lama-lama, akhirnya Allah bagi laluan dan kita menang bentuk kerajaan. Jadi PAS
iri hati. Dulu kita pernah runding tapi mereka tidak mahu kerana mereka dakwa
perjuangan Islam.
“Tapi perjuangan kita lebih Islam dari mereka dari segi
menguruskan ekonomi yang lebih baik, tolak rasuah, membina masa depan lebih
cerah. Semuanya Islam. Jika andaian mereka kata kita cuma bertahan lima tahun,
itu tidak tepat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam temu bual dengan beberapa
organisasi media di ibu pejabat Bersatu di sini hari ini, sempena perhimpunan
agung kali kedua parti itu yang dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen
Antarabangsa Putrajaya (PICC) bermula Jumaat hingga Ahad ini.
Sebuah akhbar hari ini melaporkan Naib Presiden PAS Datuk
Mohd Nik Amar Nik Abdullah berkata PH di bawah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir
Mohamad hanya akan bertahan cuma lima tahun sahaja di Putrajaya ekoran
kurangnya persefahaman di dalam komponen parti.
Jelas Muhyiddin, andaian PAS itu tidak tepat melihat kepada
apa yang berlaku kepada UMNO dan Barisan Nasional yang kini sudah berpecah dan
hanya tinggal nama sahaja serta tidak bermaya.
“Kalau andaikan barisan (pembangkang) sedia ada, atau apa
yang tinggal saki baki dengan PAS di luar sana, dengan PH sudah berkuasa dan
perkukuhkan komponen, lalu kita bandingkan antara dua — PAS tidak mungkin akan
menang dan kemungkinan PH pertahankan (Putrajaya) itu adalah lebih besar,”
katanya.
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata berbanding
PAS, PH akan terus berkuasa di Putrajaya melalui sokongan seperti yang
diperoleh pada pilihan raya umum lepas. — Bernama
Muhyiddin balas Amar: PAS akan jadi pembangkang selama-lamanya
Reviewed by Faceless
on
04:44
Rating:
Reviewed by Faceless
on
04:44
Rating:

No comments: