KUALA LUMPUR — Situasi dalam negara pasca pilihan
raya umum ke-14 (PRU14) dan agenda untuk memperbaiki keadaan negara dijangka
menjadi antara topik utama yang akan dibangkitkan pada perhimpunan agung
tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bermula Jumaat hingga Ahad
ini.
Selepas Bersatu bersama rakan-rakannya dalam Pakatan Harapan
(PH) berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada PRU14, perhimpunan agung
kali kedua itu sudah pasti berbeza setelah Bersatu kini menjadi parti dalam
kerajaan – bukan pembangkang seperti perhimpunan pertama tahun lepas.
Loading...
Setiausaha agung Bersatu Datuk Marzuki Yahya berkata selepas
PH menakluk Putrajaya Mei lepas, agenda memperbaiki keadaan negara yang rosak
akibat pentadbiran terdahulu penting untuk diperjelaskan daripada peringkat
akar umbi hingga ke peringkat kepimpinan tertinggi memandangkan ia masih kurang
difahami sesetengah pihak.
“Sudah pasti banyak perkara akan dibangkitkan jurucakap
(pembahas) negeri kerana ia masih dalam suasana kekeliruan seperti perjalanan
pentadbiran dan pemimpin parti di peringkat akar umbi selepas kemenangan pada
PRU14.
“Apabila kita dapat feedback nanti, kita akan gunakannya
sebagai agenda perjuangan. Ini penting bagi kita kerana ia titik permulaan
tentang lakaran perjalanan parti (selepas menawan Putrajaya),” katanya dalam
temu bual dengan beberapa organisasi media baru-baru ini.
Temu bual itu bersempena perhimpunan agung kali kedua parti
itu yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Marzuki, yang juga timbalan menteri luar, berkata pada
perhimpunan agung tahun lepas mereka bersuara sebagai pembangkang tetapi kini
sebagai parti kerajaan, platform tersebut perlu digunakan sebaik-baiknya.
“Agenda Melayu bumiputera dan Islam pastinya turut
dibangkitkan nanti kerana ia memang dekat dalam Bersatu selain memberi
keutamaan dan penekanan kepada isu sosial, ekonomi, pendidikan yang
(Bumiputera) masih terbelakang.
"Jadi ini isu pokok untuk kita tangani dan pada masa
sama, kita bangunkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam,” pesannya kepada
bakal-bakal pembahas perhimpunan agung tersebut.
Mengulas lanjut mengenai kriteria pembahas dan topik yang
akan dibahaskan, Marzuki berkata parti telah memutuskan bahawa pembahas yang
dipilih bebas untuk menyentuh mana-mana isu yang bersesuaian namun akan
dibimbing dan dipantau dari segi intipati perbahasan.
Katanya, dalam kerajaan baharu sekarang, pimpinan Bersatu
perlu berfikiran terbuka dan menerima sebarang keluhan dan pandangan, bukan
sahaja untuk parti tetapi untuk negara.
“Kita pembangkang sebelum ini dan telah suarakan (pandangan)
untuk rakyat dan negara. Sekarang sudah jadi government (dalam PH), jangan
takut untuk mendengar suara akar umbi.
"Dulu kita bercakap pasal 1MDB, kita ambil tindakan,
jadi sekarang kita kena cakap benar dan buat keputusan biar semua pihak
bercakap pasal kebenaran,” katanya.
Beliau turut menasihatkan pembahas yang mungkin baru pertama
kali berada di pentas, supaya mengawal emosi dan jangan tersasar daripada topik
sewaktu perbahasan tertutup selama tujuh minit itu.
“(Perbahasan tertutup kerana) banyak sensitiviti. Tidak mahu
pembahas tersasar kerana emosi di atas pentas. Kita tidak mahu (jadi) parti
yang perjuang satu kaum tapi nafi (hak) kaum lain. Ini Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Marzuki berkata pihaknya juga sedang
menambah baik proses pendaftaran anggota-anggota baharu parti melalui sistem
pendaftaran dalam talian dan juga menggunakan borang (kertas) memandangkan
jumlah anggota kini mencecah 200,000 orang.
"Sebelum PRU14, kita telah deregistered (dibatalkan
pendaftaran). Jadi, banyak dokumen ahli telah tercicir dan kita tidak dapat
bagi angka pasti mengenai jumlah keahlian. Namun kita dalam proses tambah baik
proses keahlian. Ada juga yang jadi ahli baharu dan dakwa nama tiada dalam
sistem, ada juga yang datang tuntut jawatan kononnya telah lama jadi ahli,”
katanya.
Kira-kira 3,000 perwakilan dijangka menghadiri perhimpunan
agung tiga hari itu melibatkan 135 bahagian di seluruh negara, termasuk wakil
daripada 98 sayap Srikandi dan 115 Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada). —
Bernama
Perbahasan tertutup, Bersatu bawa agenda bumiputera, Islam
Reviewed by Faceless
on
22:56
Rating:
Reviewed by Faceless
on
22:56
Rating:

No comments: