Foto Astro Awani
PORT DICKSON — Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim
berkata beliau tidak akan mengkaji semula keputusannya mengenai pelantikan
kepimpinan pusat parti itu sebagaimana diminta oleh timbalan presiden Datuk
Seri Mohamed Azmin Ali.
“Tidak ada keperluan bagi saya berbuat demikian oleh kerana
nama-nama berkenaan telahpun diluluskan oleh majlis.
Loading...
"Saya telah ambil masuk kedua-dua puak. Jika anda
lihat, saya telah lantik Ali Biju (sebagai naib presiden) yang merupakan
penyokong Azmin dan juga ketua penerangan (Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin)
yang juga penyokong beliau," kata Anwar ketika ditemui selepas menghadiri
program Pendidikan Demo Neuro di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Springhill di
sini hari ini.
Anwar, yang juga wakil rakyat Port Dickson, menafikan beliau
menghadapi isu dengan Mohamed Azmin selepas menteri hal ehwal ekonomi
mempersoalkan cara pemilihan orang-orang yang dilantik ke dalam majlis pimpinan
pusat PKR.
Anwar berkata hasrat beliau semata-mata untuk melindungi
kepentingan semua anggota PKR dan bukan puak tertentu.
"Anda tidak boleh mendapatkan semua penyokong anda ke
dalam majlis... anda mesti mendapatkan penyokong PKR,” kata beliau.
Sebelum ini, Mohamed Azmin berkata pelantikan itu tidak
mencerminkan prinsip mewakili aspirasi anggota secara adil dan saksama.
Sementara itu, dalam program Himpunan Pencak Pendekar
Pesilat Bangsa Beradat yang diadakan di Pantai Cahaya Negeri, dekat sini, Anwar
dalam ucapannya menyeru agar seni persilatan dihidupkan kembali bagi membentuk
jati diri anak muda supaya lebih berdisplin dan terhindar dari masalah gejala
sosial.
“Apa ertinya pembangunan, mempunyai bangunan pencakar langit
serta teknologi canggih jika kita hilang seni dan kebudayaan kita sendiri.
“Kita mahu menghidupkan kembali seni budaya persilatan ini
di setiap daerah, taman perumahan dan kampung,” katanya.
Seramai 900 pesilat daripada pertubuhan dan persatuan silat
dari Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor dan Kuala Lumpur menyertai program
itu. — Bernama
Anwar bertegas kekalkan senarai lantikan, tidak layan desakan Azmin
Reviewed by Faceless
on
07:59
Rating:
No comments: