PUTRAJAYA — Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad
menegaskan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukan pewaris Umno tetapi
akan bertanggungjawab kepada orang Melayu dan Bumiputera.
Pengerusi Bersatu berkata parti berkenaan yang ditubuh untuk
menyelamatkan orang Melayu dan Bumiputera tidak akan berdiam diri dan membiar
kehancuran mereka berterusan, lantaran kehilangan pemimpin dan haluan selepas
tewasnya Umno.
Loading...
“Hari ini orang Melayu berada dalam keadaan yang tidak
menentu dan kehilangan haluan. Parti mereka (Umno) kalah dan berpecah sehingga
secara berkesan tidak wujud lagi. Pemimpin mereka bertelagah dan ahli tidak
tahu apa yang sudah jadi pada mereka.
“Ada yang keluar dari Umno, ada cuba hidupkan Umno. Ada yang
masih fikir mereka sebagai sebuah parti politik boleh bergabung dengan
parti-parti lain, mendapat cukup bilang untuk mendirikan kerajaan campuran. Ada
pemimpin yang percaya mereka akan pimpin kerajaan campuran baru ini,” katanya.
Dr Mahathir berkata demikian dalam ucapan dasarnya pada
perhimpunan agung tahunan kedua Bersatu di Pusat Konvensyen Antarabangsa
Putrajaya di sini malam tadi.
Perdana menteri berkata Umno sudah dihancurkan oleh pemimpin
yang tamak dan menganggap manusia boleh dibeli dengan duit.
“Malangnya yang sebenar menjadi mangsa ialah orang Melayu,
penduduk peribumi di negara bertuah ini. Mereka sudah hilang jaguh mereka,”
katanya.
Bagaimanapun, katanya, dalam melindungi orang Melayu dan
Bumiputera, caranya bukanlah dengan merampas hak dan harta orang lain.
Dalam pada itu, Dr Mahathir mengingatkan perwakilan Bersatu
bahawa kemenangan yang dikecapi pada pilihan raya umum lalu datang bersama
tanggungjawab yang berat.
Beliau berkata kerajaan kini bertanggungjawab menunaikan
janji yang dibuat dalam manifesto Pakatan Harapan, walaupun tidak mengetahui
dengan mendalam keadaan kerosakan yang menimpa negara ketika berkempen sewaktu
pilihan raya umum dulu.
“Malangnya, rakyat sudah bosan dan tidak lagi memberi
perhatian kepada kesalahan kerajaan terdahulu. Mereka hanya ingin lihat hasil
pemulihan negara oleh kita.
“Ramai rakyat yang tidak pun memberi perhatian kepada
tindakan undang-undang yang diambil terhadap pemimpin dahulu. Sebaliknya,
dengan lantang pemimpin dahulu cuba mengajar kita tentang cara-cara kita
tangani masalah. Masalah yang ditinggal oleh mereka,” katanya. — Bernama
Bersatu ditubuh untuk menyelamatkan Melayu, Bumiputera - Tun M
Reviewed by Faceless
on
21:09
Rating:
No comments: