Foto FMT
Penggunaan bahasa Melayu klasik dalam surat terbuka oleh
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof Rawa kepada Anggota
Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar bukan bersifat romantis sebaliknya
untuk memartabatkan sastera Melayu.
Mujahid berkata beliau sebagai seorang yang mencintai
kesusasteraan Melayu tidak melihat isu penggunaan istilah 'kekanda' dan
'adinda' itu sebagai sesuatu yang pelik sebaliknya ia menunjukkan keindahan
bahasa Melayu klasik itu sendiri.
Loading...
"Jadi isu ini menunjukkan masyarakat kita masih rendah
dia punya nilai sastera. Mereka suka benda tanpa disedari merendahkan martabat
sastera itu sendiri termasuklah istilah kekanda dan adinda itu, bukankah indah
bunyinya.
"Orang kita ni gambaran dia asyik nak gambar benda
lain, asyik di dalam alam romantis...sedangkan ia bukan soal romantis ia soal
bahasa indah yang dipakai antara orang yang lebih senior kepada orang yang
lebih junior," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Rahmah
di Surau Hospital Pulau Pinang, Georgetown, hari ini.
Pada Selasa lepas, Mujahid menulis surat terbuka kepada
Nurul Izzah yang diletakkan dalam hantaran di laman Facebook miliknya berikutan
keputusan Anggota Parlimen Permatang Pauh itu meletak jawatan sebagai naib
presiden PKR dan Pengerusi PKR Pulau Pinang.
Bagaimanapun, penggunaan istilah 'kekanda' dan 'adinda'
dalam surat terbuka itu telah menarik perhatian netizen sehingga menjadi tular
di media sosial.
Mujahid berkata keputusan Nurul Izzah itu adalah satu
perkara yang mengejutkan semua pihak dan tujuan surat terbuka berkenaan ditulis
adalah antara lain untuk memintanya mempertimbangkan semula keputusan itu.
"Saya bukan kenali Nurul Izzah satu hari. Kita bersama
atas satu pentas walaupun dia junior banyak dari saya tapi saya menyaksikan
pendakian dan sehingga beliau digelar puteri reformasi. Sudah tentulah bagi
saya keputusan untuk beliau menarik diri adalah satu kejutan, bukan pada saya
sahaja lebih pada orang yang mengamati perjuangan ini sejak dari hujung 1990an
lagi. Saya berada bersama dalam gelombang itu.
"Jadi, atas itulah maka saya menitipkan pena dengan
ilham dari Cordova dalam perjalanan tiga jam dan pemandangan yang indah sebagai
seorang yang penuh nilai sasteranya. Bukan sekali saya menulis bersifat sastera
ini maka itulah yang melahirkan warkah dari Cordova itu. Tapi orang dok sibuk
kanda dan adinda, walhal surat itu punyalah panjang. Mereka tak tengok isi
(kandungan surat itu)," katanya.
Ditanya sama ada Nurul Izzah sudah membalas surat terbuka
itu, katanya perkara itu adalah rahsia dan beliau tidak akan memaklumkan
mengenai perkara itu.
Mengulas mengenai tindakan netizen yang mempersendakan
tindakannya menulis surat terbuka itu, Mujahid berkata mereka sepatutnya berterima
kasih kepadanya kerana rata-rata sudah mula menggunakan bahasa Melayu klasik
itu selepas tular di media sosial.
"Saya dah biasa dengan perangai netizen dan dunia yang
terbuka ini. Saya hanya anggap sebagai 'very interesting facts about netizen' dan
mereka pun kena berterima kasih pada saya sebab hari ini semua orang dah mula
pakai kekanda dan adinda. Domino's Pizza pun pakai, Khairy Jamaluddin pun guna
nenda. Patut berterima kasih kepada saya kerana memartabatkan bahasa,"
katanya. -Bernama
Surat terbuka Mujahid martabatkan Bahasa Melayu Klasik
Reviewed by Faceless
on
21:11
Rating:
No comments: