SHAH ALAM — Polis menafikan anggotanya bertindak
kasar ke atas Datuk Azwanddin Hamzah sehingga menyebabkan Pengerusi Pertubuhan
Jaringan Melayu Malaysia (JMM) itu terjatuh ketika dibawa ke Mahkamah Klang
untuk proses reman semalam seperti yang tular dalam media sosial.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Shamsul Amar Ramli
berkata siasatan mendapati Azwanddin hampir tersungkur ketika turun daripada
kenderaan pasukan itu disebabkan tersadung dan terlanggar pasu bunga di
perkarangan mahkamah.
Loading...
Beliau berkata insiden itu berlaku kerana tahanan lain yang
berkongsi gari dengan Azwanddin berjalan laju tatkala Penasihat Gagasan Tiga
Malaysia (G3) itu sedang melambaikan tangan kepada penyokongnya yang hadir.
“Semasa dibawa ke mahkamah semalam, Azwanddin digari di
tangan kanannya bersama dua tahanan lain dan beliau terjatuh ketika dalam
perjalanan masuk ke bangunan mahkamah selepas turun daripada kenderaan polis.
“Sejurus itu, anggota yang bertugas bertindak membantu
mengangkat beliau semula,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata susulan itu, peguam yang mewakili Azwanddin,
Datuk Mohd Imran Tamrin juga turut mengeluarkan kenyataan media bahawa mereka
mendapat kerjasama baik daripada polis.
Shamsul Amar menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebar
atau memutar belitkan maklumat mengenai insiden berkenaan kerana ia disifatkan
sebagai tindakan tidak bertanggungjawab dan boleh menjejaskan ketenteraman awam
selain membangkitkan keresahan masyarakat.
Tegas beliau, tindakan menyebar berita palsu boleh diambil
tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 atau Akta Hasutan 1948.
Semalam, mahkamah mengeluarkan perintah tahanan reman selama
empat hari terhadap Azwanddin bagi membantu siasatan berhubung kenyataan
berunsur ugutan yang dikeluarkannya pada satu perhimpunan di Klang, Selasa
lepas. — Bernama
Azwanddin jatuh kerana tersadung pasu bunga, polis nafi bertindak kasar
Reviewed by Faceless
on
05:06
Rating:

No comments: