PUTRAJAYA — Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)
akan memastikan bahawa hanya bekas anggota Umno yang boleh menambah nilai
kepada parti akan diterima menyertai mereka.
Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sesiapa jua
‘muka baru’ dari Umno akan disaring terlebih dahulu bagi memastikan mereka
bebas daripada sebarang amalan rasuah atau aktiviti jenayah sebelum diterima.
Loading...
“Dari sudut politik, kita akan lihat sama ada mereka cukup
baik untuk menyertai Bersatu dan memenuhi (objektif) perjuangan serta
perlembagaan kita, dan menyumbang kepada pendirian teguh kita sebagai sebuah
parti politik,” katanya.
Muhyiddin berkata demikian kepada pemberita selepas
mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, sempena
Perhimpunan Agung Tahunan parti itu 28-30 Dis di sini hari ini.
Beliau juga berkata mesyuarat hari ini tidak memberikan
‘lampu hijau’ kepada beberapa bekas pemimpin Umno yang baru-baru ini memohon
untuk menyertai Bersatu, seperti bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim
Tamby Chik.
Perhimpunan Agung Tahunan kali kedua Bersatu bermula dengan
majlis perasmian perhimpunan sayap Armada serta Srikandi malam ini, manakala
majlis perasmian Perhimpunan Agung Tahunan dijadualkan berlangsung esok.
Muhyiddin yang juga Menteri Dalam negeri berkata beliau
berharap para perwakilan akan mengambil peluang ini untuk berbincang mengenai
isu-isu politik yang relevan serta perkara-perkara yang dipandang serius oleh
orang ramai.
“Kita perlu bergerak ke hadapan untuk mengukuhkan parti,
namun yang lebih penting lagi ialah apa peranan yang akan kita mainkan dalam
kerajaan Pakatan Harapan dari segi menggerakkan (negara) ke hadapan dalam
bidang ekonomi dan pendidikan,” katanya.
Katanya beliau juga memandang serius dalam mencari jalan
untuk meningkatkan lagi perhubungan yang harmoni antara rakyat Malaysia.
“Kita perlu menangani isu-isu berkaitan bangsa dan agama,
supaya kita dapat memajukan sebuah negara Malaysia yang bersatu. Ini boleh
menjadi antara perkara yang kritikal yang harus dibahaskan semasa mesyuarat
Agung Tahunan ini,” katanya.
Semasa ditanya mengenai isu kenaikan harga barang termasuk
yang ditawarkan oleh restoran rangkaian makanan segera yang popular dalam
negara, Muhyiddin berkata pihak berkuasa yang berkenaan perlu melihat perkara
ini. — Bernama
Hanya yang menyumbang kepada PPBM akan diterima, kata Muhyiddin
Reviewed by Faceless
on
06:02
Rating:

No comments: