Tindakan afirmatif kerajaan untuk membantu Melayu di negara
ini tidak akan mencapai matlamatnya jika orang Melayu sendiri tidak mahu
mengubah sikap dan sistem nilai mereka bagi membolehkan mereka berjaya, kata
Tun Dr Mahathir Mohamad.
Perdana Menteri berkata kerajaan telah memperkenalkan banyak
dasar dan sokongan untuk orang Melayu menerusi tindakan afirmatif yang
diterjemahkan melalui peluang dan bantuan kepada mereka namun mereka tetap
Melayu yang sama yang gagal sebelum ini.
Loading...
“Ini kerana anda tidak boleh ubah sikap seseorang. Saya
tidak suka mengatakan sedemikian tentang kaum saya sendiri namun saya terpaksa
katakan. Saya terpaksa beritahu mereka yang anda salah. Tindakan afirmatif
adalah tentang sokongan tetapi mengubah sikap merupakan sesuatu yang perlu kita
beri perhatian. Kami sedar tindakan afirmatif semata-mata tidak dapat
membuatkan orang Melayu berjaya.
“Paling penting ialah sikap dan sistem nilai mereka. Sistem
nilai mereka salah dan sistem nilai yang mereka ada ini tidak akan membawa
kejayaan kepada mereka,” katanya dalam temu bual dengan organisasi media
terpilih, di pejabatnya di Putrajaya.
Dr Mahathir berkata adalah penting untuk Melayu sendiri
menukar nilai hidup yang dipegang dan diamalkan, terutamanya yang tidak sepadan
dengan kejayaan.
“Kalau tak kerja kita tak dapat duit, kalau tak usaha tak
maju. Bila saya kata orang Melayu malas, orang marah saya tapi ini kebenaran.
Kalau kita tak nak kerja, orang lain akan datang bekerja. Akhirnya orang asing
yang memiliki negara ini. Sekarang sudah ada tujuh juta orang (pekerja warga)
asing di Malaysia,” katanya.
Dr Mahathir berkata nilai yang terbaik ialah nilai-nilai
Islam yang menganjurkan banyak perkara baik namun masih ramai tidak
mengamalkannya.
“Sebagai contoh, anda (orang Islam) dilarang memecahbelahkan
sesama orang Islam, namun sesetengah orang, disebabkan politik, memecahbelahkan
sesama Islam… panggil orang Islam ini bukan Islam, hanya kami sahaja yang Islam
dan sebagainya. Kita telah berpecah belah… ini dilarang dalam Islam.
“(Semua orang Islam) adalah bersaudara (namun) kita tidak
layan mereka sebagai saudara. Dia daripada parti itu, anak gadisnya tidak boleh
berkahwin dengan anak saya. Perkara sedemikian tidak bersifat Islam. Kita mahu
mengajar mereka tentang nilai-nilai Islam. Saya yakin jika mereka berpegang
pada nilai-nilai Islam mereka akan berjaya,” katanya.
Sementara itu, Dr Mahathir yang juga pengerusi Parti Pribumi
Bersatu Malaysia berkata beliau berharap orang Melayu tidak akan bergantung
terlalu lama kepada kerajaan atau “tongkat” untuk berjaya.
“Saya sentiasa mengkaji sikap manusia… yang membuatkan
mereka berjaya atau gagal adalah budaya dan sistem nilai mereka. Kaum Cina
berjaya walaupun tanpa sebarang bantuan,” katanya.
Dr Mahathir berkata bagi orang Melayu, mereka bukan sahaja
perlu tahu tentang agama mereka tetapi juga perlu mempelajari perkara lain
seperti matematik, sains, geografi dan sejarah, dan beliau menegaskan
pembelajaran matematik serta sains harus dilakukan dalam bahasa Inggeris.
“Saya telah berbincang dengan mereka yang dalam proses
mengubah dasar pendidikan (negara) dan menekankan bahawa sekolah kebangsaan
sudah menjadi sekolah agama… itu yang berlaku. Orang Cina dan India tidak mahu
ke sekolah kebangsaan, (ini kerana) empat waktu setiap hari mereka mengajar
tentang Islam, memang bagus namun takkanlah anda hanya mahu Melayu tahu tentang
Islam sahaja dan tidak perkara-perkara lain,” katanya.
-- Bernama
Melayu perlu ubah sikap, sistem nilai - Dr Mahathir
Reviewed by Faceless
on
19:58
Rating:

No comments: