Honda Malaysia mengeluarkan permohonan maaf atas kenyataan
tidak sensitif seorang kakitangan wanita di pusat edarannya mengenai kematian
anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.
"Honda Malaysia memohon maaf atas komen yang tidak peka
dan tidak sewajarnya oleh (wanita) yang bekerja di pusat edaran kami mengenai
kematian menyayat hati anggota bomba yang berani, Adib.
Loading...
"Komennya bercanggah dengan nilai-nilai Honda dan kami
tidak menerima tingkah laku ini. Kami ingin menegaskan pendirian Honda untuk
menghormati semua orang dan individu," kata syarikat itu dalam satu
kenyataan hari ini.
Difahamkan wanita itu digantung tugas dan siasatan dalaman
sedang dijalankan.
Honda berkata syarikat itu juga akan menghantar memo kepada
pusat-pusat edarannya untuk menasihati kakitangannya supaya menunjukkan
perilaku yang baik.
Terdahulu, wanita berkenaan mengeluarkan kenyataan tidak sepatutnya
mengenai kematian Adib di media sosial.
Dalam kejadian awal pagi 27 Nov lalu, Muhammad Adib
mengalami cedera parah dipercayai selepas dipukul sekumpulan perusuh di hadapan
kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.
Allahyarham ketika itu, menyertai operasi memadam kebakaran
di hadapan kuil berkenaan.
Polis setakat ini menahan empat suspek yang dipercayai menyerang Adib dan mereka kini dibebaskan
dengan ikat jamin.
Susulan kematian anggota bomba berusia 24 tahun itu semalam,
kes itu kini diklasifikasikan sebagai kes bunuh. - Malaysiakini
Honda minta maaf, gantung kerja staf hina pemergian Muhammad Adib
Reviewed by Faceless
on
01:34
Rating:
Reviewed by Faceless
on
01:34
Rating:

No comments: