Presiden Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia Datuk Azwanddin Hamzah yang direman sejak Khamis lepas telah dibebaskan semalam dan polis telah menyerahkan kertas siasatan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat
berkata Azwanddin dibebaskan pada tengah hari semalam dengan jaminan polis.
Loading...
Polis sedang menunggu arahan seterusnya daripada pejabat
Timbalan Pendakwa Raya, katanya ketika dihubungi hari ini.
Pada Khamis lepas, Mahkamah Majistret Klang mengeluarkan
perintah tahanan reman selama empat hari terhadap Azwanddin bagi membantu
siasatan menurut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.
Pada perhimpunan ‘Keadilan Untukmu Adib dan Desakan Pecat
Waytha Moothy' anjuran Gerakan Rakyat Malaysia (Geras) di Dataran Seni, Klang
Selasa lepas, Azwanddin dalam ucapannya mengeluarkan kenyataan provokasi antara
lain mengugut untuk menyerang Balai Polis Klang jika pihak yang terlibat dalam
kematian Muhammad Adib Mohd Kassim tidak ditangkap.
Muhammad Adib yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat
Subang Jaya meninggal dunia pada 17 Dis lalu di Institut Jantung Negara,
selepas bertarung nyawa kira-kira tiga minggu susulan kecederaan parah yang
dialami akibat diserang kumpulan perusuh dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha
Mariamman, USJ 25, Subang Jaya bulan lepas.
Sementara itu, peguam Azwanddin, Imran Tamrin ketika
dihubungi berkata anak guamnya dibebaskan semalam pada kira-kira 1.15 tengah
hari di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara.
"Kini kami masih menunggu arahan lanjut daripada pihak
berkuasa berhubung kes melibatkan Azwanddin," katanya.
- Bernama
Kertas siasatan kes Azwanddin diserah pada pendakwa raya
Reviewed by Faceless
on
02:43
Rating:
No comments: