Foto NST
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini melancarkan
Skim Perlindungan Nasional B40 (mySalam) yang menyediakan perlindungan takaful
kepada golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) yang menerima
Bantuan Sara Hidup Rakyat (BSHR).
Melalui MySalam, katanya, kerajaan Persekutuan berhasrat
untuk membantu golongan B40 menangani kesulitan kewangan yang timbul akibat
kemasukan ke wad hospital kerajaan atau ditimpa salah satu daripada 36 penyakit
kritikal yang tidak diduga.
Loading...
Dr Mahathir ketika melancarkan skim itu di Kementerian
Kewangan berkata kerajaan menjangkakan seramai 3.69 juta rakyat yang berumur 18
sehingga 55 tahun layak menerima manfaat daripada skim itu.
Beliau berkata sebagai sebuah kerajaan yang
bertanggungjawab, kerajaan Pakatan Harapan merasai keperitan yang ditanggung
oleh rakyat yang hilang mata pencarian akibat sakit atau kemalangan.
"Bagi golongan B40, terutamanya mereka yang bekerja
sendiri atau memperoleh gaji harian, tuntutan takaful yang diterima daripada
skim mySalam ini boleh memberi kelegaan sementara bagi membantu mengekalkan
keperluan hidup dan perbelanjaan harian, sementara menjalani rawatan perubatan
yang diperlukan,” katanya.
Dr Mahathir berkata skim mySalam diperkenalkan dengan
sumbangan permulaan sebanyak RM2 bilion daripada syarikat insurans dan takaful
Great Eastern.
Beliau berkata skim itu juga bertujuan untuk meningkatkan
kesedaran dan pemahaman dalam kalangan B40 mengenai perlindungan insurans dan
takaful.
“Skim mySalam yang diperkenalkan oleh kerajaan ini merupakan
satu langkah yang signifikan untuk merangka sebuah dasar pembangunan kewangan
yang lebih inklusif di Malaysia,” katanya.
Dr Mahathir berkata walaupun beban kewangan yang diwarisi
adalah besar dan berat, namun ia tidak akan menjadi halangan untuk kerajaan
memperkenalkan program-program mesra rakyat seperti skim mySalam.
“Walaupun kelihatan berdikit dan agak hati-hati di dalam
melaksanakan program-program ini, kerajaan akan memastikan usaha tersebut
mencapai golongan sasaran dan mereka yang memerlukan akan menerimanya.
“Kita akan berusaha sedaya upaya untuk menjana dana untuk
meringankan beban rakyat jelata dan untuk mencapai matlamat itu, kita turut
mengambil langkah-langkah inovatif dan alternatif. Usaha ini telah membuahkan
hasil untuk membantu rakyat,” katanya.
-Bernama
Dr M lancar skim mySalam manfaat 3.69 juta rakyat
Reviewed by Faceless
on
20:34
Rating:

No comments: