Foto Astro Awani
TANAH RATA — Calon Pakatan Harapan (PH) M. Manogaran
menerima kekalahan bagi kali ketiga dengan hati terbuka apabila tewas kepada
pesaing utamanya Ramli Mohd Noor daripada Barisan Nasional (BN) pada pilihan
raya kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands malam tadi.
Manogaran, 61 berkata beliau berharap Ramli Mohd Noor yang
telah diberi mandat oleh pengundi parlimen itu akan menjalankan tugasnya dengan
baik dan membawa segala permasalahan berbangkit disuarakan ke parlimen kelak.
Loading...
“Kami menerima keputusan pengundi dan saya mengucapkan
tahniah kepada Tuan Ramli atas pencapaiannya.
“Saya berharap beliau akan menjalankan tanggungjawab sebagai
anggota parlimen Cameron Highlands dan mewakili semua penduduk Cameron
Highlands.”
Beliau berkata demikian pada sidang media khas pada pukul 8
malam di Bilik Operasi Pakatan Harapan PRK Cameron Highlands di Brinchang di
sini.
Manogaran yang dilihat sugul berkata pihaknya mengadakan
sidang media sebelum pengumuman rasmi keputusan dibuat kerana telah
menjangkakan kekalahan itu.
“Kami telah memperoleh semua keputusan tidak rasmi. Walaupun
kalah, saya berpendapat bahawa ada perkara-perkara positif untuk diambil
perhatian di sini,” katanya.
“Kami telah menembusi kawasan Orang Asli terutama di Jelai,
Ia menunjukkan bahawa pada masa akan datang, kami akan memperolehi sokongan
lebih baik di sana,” katanya ketika menarik perhatian kepada lima kawasan Orang
Asli – Pos Senderut, Pos Titom, Pos Betau, Pos Lanai dan Pos Lenjang.
Manogaran turut berjanji akan terus berkhidmat sebagai
penyelaras PH Parlimen Cameron Highlands di kedua-dua DUN — Tanah Rata dan
Jelai.
Sementara itu, Ramli Mohd Nor yang memenangi kerusi Parlimen
Cameron Highlands menzahirkan ucapan terima kasih kepada kesemua pengundi yang
memberi mandat dan kepercayaan kepada beliau.
Dalam sidang media ringkas sejurus selepas keputusan rasmi
diumumkan oleh Pegawai Pengurus PRK Cameron Highlands, Datuk Ishak Md Napis di
Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah di sini, Ramli turut berterima
kasih kepada jentera BN yang berusaha keras dalam memastikan kemenangan beliau.
“Saya bersyukur kerana dengan izin Allah saya memenangi
kerusi ini. Terima kasih kepada jentera BN, iaitu MIC, MCA, tidak lupa juga
kepada PAS.
“Insya Allah saya berjanji kepada masyarakat di Parlimen
Cameron Highlands,” kata beliau secara ringkas.
Ramli meraih 12,038 undi untuk menewaskan calon PH M.
Manogaran (8,800 undi), dan dua calon Bebas, Sallehudin Ab Talib (314 undi) dan
Wong Seng Yee yang memperoleh 276 undi.
Dengan kemenangan ini, BN mengekalkan penguasaannya di
kerusi Parlimen Cameron Highlands buat penggal kelima berturut-turut sejak 2004
menerusi calon MIC.
Sementara itu, calon Bebas Wong Seng Yee berkata beliau
telah bersedia menerima kekalahannya termasuk hilang deposit dan juga tidak
akan mematahkan semangatnya untuk berbakti kepada petani di Cameron Highlands.
“Saya ada pelan untuk membantu mereka (petani) dalam skala
kecil, dan diharap Ramli akan membantu membangunkan ekonomi masyarakat di
sini,” katanya yang menyatakan hasrat untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum
ke-15 sekiranya keadaan mengizinkan.
Seorang lagi calon Bebas Sallehudin tidak dapat ditemui
Bernama untuk mendapatkan reaksinya. — Bernama
Tiga kali kalah, calon PH tetap bantu Cameron Highlands
Reviewed by Faceless
on
20:11
Rating:

No comments: