TANAH RATA — Barisan Nasional (BN) tidak boleh
berbangga dengan kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron
Highlands semalam kerana kejayaan itu tidak akan dicapai tanpa sokongan
daripada pengundi PAS.
Penganalisis politik, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi
berkata, penyokong PAS merupakan penyumbang terbesar kepada peningkatan
majoriti BN di Parlimen Cameron Highlands jika dibandingkan pada Pilihan Raya
Umum ke-14 (PRU14), Mei tahun lalu.
Loading...
PAS, yang pada kali ini tidak bertanding, mendapat 3,587
undi menerusi calonnya, Wan Mahadir Wan Mahmud, pada PRU-14 lepas.
“Pada PRU lepas undi berpecah kerana pertandingan pelbagai
penjuru melibatkan BN, PAS, Pakatan Harapan (PH), Parti Sosialis Malaysia (PSM)
dan Berjasa,” kata pensyarah kanan Universiti Malaya itu ketika dihubungi di
sini, malam tadi.
Pada PRK Parlimen Cameron Highlands ini, calon BN, Ramli
Mohd Nor, mendapat 12,038 undi untuk mengalahkan wakil PH, M. Manogaran (8,800
undi), dan serta dua calon Bebas iaitu Sallehudin Ab Talib (314 undi) dan Wong
Seng Yee (276 undi).
Ramli, bekas pegawai polis, mencipta sejarah apabila menjadi
wakil tunggal masyarakat Orang Asli yang bakal mengangkat sumpah sebagai Ahli
Parlimen dan mengisi satu slot kerusi di Dewan Rakyat.
Majoriti yang diraih Ramli iaitu 3,238 undi meningkat
berbanding 597 undi yang diperoleh calon BN, Datuk C. Sivarraajh pada PRU14.
Awang Azman juga berkata keputusan ini tidak menghairankan
kerana seperti kebiasaan, parti penyandang akan dapat mempertahankan kubu
kuatnya.
“Ini seperti mana juga empat PRK sebelum ini yang dimenangi
PH. PH dilihat perlu bekerja lebih kuat di kawasan kubu BN, lagipun mereka
taklah sepopular ketika menjelang PRU 2014,” katanya merujuk kepada PRK Dewan
Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Balakong dan Seri Setia di Selangor dan
Parlimen Port Dickson.
Sementara itu, pensyarah kanan Hal Ehwal Politik dan
Antarbangsa Univerisiti Utara Malaysia, Md Shukri Shuib berkata, PH perlu
melihat keputusan itu secara rasional termasuk menambahbaik pengurusan
pentadbiran di peringkat kerajaan pusat.
“Kerajaan perlu berusaha menambah baik banyak perkara
termasuk Felda. Jangan melihat mereka (peneroka Felda) sebagai musuh,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad
Hasan berkata kemenangan pada PRK ini menunjukkan kerjasama antara Umno dan PAS
telah membuahkan hasil.
Beliau, yang kini menjalankan tugas-tugas presiden Umno,
berkata pertolongan PAS pada PRK ini telah menarik pengundi PAS pada PRU-14
lepas untuk memberikan kepercayaan kepada BN.
Kemenangan kali ini amat bermakna kerana BN menang dengan
majoriti 3,238 undi berbanding majoriti 597 undi pada PRU-14 lepas, katanya.
Mohamad juga berkata kemenangan pertama BN selepas tewas
dalam empat PRK sebelum ini akan dijadikan pembakar semangat untuk menghadapi
PRK DUN Semenyih di Selangor pada 2 Mac ini. — Bernama
PAS sumbang undi besar bantu BN menang PRK
Reviewed by Faceless
on
20:14
Rating:

No comments: