Malaysia memberi keutamaan paling atas untuk melindungi
kepentingan Palestin dan rakyatnya dan oleh itu keputusan untuk tidak
membenarkan atlet Israel bertanding pada Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di
negara ini adalah tepat.
Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
berkata demikian apabila Shaun Ley yang bertindak sebagai pengacara menerusi
program bual bicara BBC bertanya kepada beliau, mengapa Malaysia menafikan
peluang untuk atlet Israel membuktikan diri mereka bersaing dengan beberapa
perenang terbaik dunia apabila membuat keputusan itu.
Loading...
"Jika menganjurkan acara antarabangsa adalah lebih
penting daripada menjaga kepentingan rakyat Palestin yang menjadi saudara kita,
ini bermakna kita telah kehilangan kedudukan moral kita," katanya.
Beliau menambah bahawa Malaysia akan bersuara menentang
pencabulan hak asasi manusia dan keganasan terhadap rakyat Palestin walaupun ia
mungkin menghadapi akibatnya pada masa depan.
Terdahulu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata
kerajaan mengambil pendirian tegas untuk tidak membenarkan atlet Israel
daripada menyertai Kejohanan Renang Para Dunia 2019 yang akan diadakan di
Kuching dari 29 Julai hingga 4 Ogos.
Keputusan untuk tidak membenarkan atlet Israel bertanding
mendapat bantahan dari Jawatankuasa Olimpik Israel yang terus memberi tekanan
kepada pihak penganjur untuk mengeluarkan visa kepada atlet mereka.
Kejohanan itu dianggap sebagai platform penting bagi
kelayakan ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
Sementara itu, menyentuh cadangan untuk menurunkan had umur
mengundi daripada 21 kepada 18 tahun, Syed Saddiq berkata keputusan itu akan
menambah lima juta lagi pengundi baru menjelang pilihan raya umum akan datang
pada 2022.
"Sekarang terdapat kira-kira 2.6 juta daripada mereka
berusia 18 hingga 21 tahun, tetapi jangan lupa pilihan raya akan datang ialah
pada 2022, ini bermakna mereka yang berumur 15 tahun hari ini akan dibenarkan
untuk mengundi menjelang tahun itu, yang bermakna kira-kira 50 peratus daripada
pengundi terdiri daripada generasi muda menjelang tahun tersebut,"
katanya.
Perwakilan belia dalam Kabinet juga meningkat dan kepimpinan
belia diiktiraf, kata Syed Saddiq yang diperkenalkan oleh Ley dalam program
bual bicara itu sebagai menteri termuda di Asia.
Syed Saddiq berkata dalam memperkasakan golongan belia,
kurikulum pendidikan akan dikaji semula dan mereka akan dilatih semula dan
meningkatkan kemahiran sambil menambah bahawa usaha juga telah dijalankan untuk
menangani penghijrahan cendekiawan.
-Bernama
Larang atlet Israel tepat, kepentingan Palestin dan rakyatnya lebih utama - Syed Saddiq
Reviewed by Faceless
on
16:59
Rating:

No comments: