PUTRAJAYA — Kerajaan sedang mengkaji kemungkinan
untuk mememperkenalkan akta baharu demi menyekat aktiviti rasuah menerusi
pembiayaan dana politik, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata parti-parti politik memerlukan dana untuk
beroperasi kerana kos untuk terlibat dalam politik kian meningkat saban masa.
Loading...
“Ini masalah besar kerana parti-parti politik memerlukan
dana kerana tanpa dana yang cukup ia tidak boleh berfungsi,” katanya pada
sidang media selepas melancarkan Pelan Antirasuah Naional (NACP) 2019-2023 di
sini hari ini.
Pelaksanaan pelan NACP dibuat berdasarkan 22 strategi yang
akan diberi keutamaan bagi enam sektor utama. Pelan berkenaan mengandungi 115
inisiatif antirasuah merangkumi sektor politik: perolehan awam; penguatkuasaan
undang-undang; pentadbiran sektor awam; perundangan dan kehakiman; serta tadbir
urus korporat.
“Pada masa ini kita mesti mendapatkan sumber dana dan ia
mestilah sumber yang sah dan diiktiraf oleh kerajaan.
“Jadi, kerajaan sekarang sedang meneliiti bagaimana
pembiayaan dana politik itu tidak menjadi satu amalan rasuah kepada parti atau
kerajaan. Ia satu proses yang rumit, tetapi kita akan mencari jalan penyelesaiannya,”
kata Dr Mahathir.
Ditanya sejauh mana keyakinan kerajaan terhadap pelaksanaan
NACP, Dr Mahathir berkata: “Pada masa ini, kita melihat laporan itu menyatakan
bahawa rasuah tidak lagi berlaku sekerap dan sebanyak masa lepas. Kebanyakan
yang dilaporkan adalah apa yang telah berlaku pada masa lepas, dan bukan yang
berlaku sekarang. Apa yang jelas, orang tidak lagi mudah terjebak dengan rasuah
berbanding dahulu.”
Menjawab pertanyaan lain mengenai kenapa Pakatan Harapan
tidak memenangi pilhan raya kecil Parlimen Cameron Highlands Sabtu lepas
walaupun telah memperlihatkan sikap antirasuah, Dr Mahathir, yang juga
Pengerusi Pakatan Harapan berkata: “Terdapat bukti-bukti yang menunjukkan
bahawa terdapat pihak-pihak tertentu yang telah menggunakan wang untuk membeli
sokongan. Itu rasuah.”
Sementara itu, Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan
Antirasuah Nasional (GIACC) Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata perbincangan
bersama semua parti politik berkaitan perkara mengenai pengurusan dana politik
kini memasuki fasa pusingan akhir.
Mengenai soalan berkaitan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah
laku Polis (IPCMC), beliau berkata suruhanjaya itu akan mempunyai kuasa
mengambil tindakan tatatertib terhadap anggota polis yang menyalahi
undang-undang dan yang melakukan kesalahan.
“Kita juga telah berbincang dengan Peguam Negara dan
pihaknya telah memberi kita masa untuk memberi maklum balas kepada
perkara-perkara yang kita bangkitkan kepada beliau.
“Setelah mendapat jawapan mengenai perkara yang
dibangkitkan, sekiranya positif, kita akan teruskan rancangan untuk dijadikan
sebagai draf undang-undang untuk dibawa ke Parlimen melalui kabinet,” katanya.
Ditanya mengenai komen beliau berkenaan pelantikan jawatan
agensi dan syarikat berkaitan kerajaan dari kalangan ahli politik, beliau
berkata perkara itu tidak salah asalkan individu berkenaan mempunyai merit dan
berkelayakan. — Bernama
PM: Kerajaan pertimbang akta baru halang biaya dana politik secara rasuah
Reviewed by Faceless
on
01:12
Rating:
![PM: Kerajaan pertimbang akta baru halang biaya dana politik secara rasuah](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhSlMryu2WlBEDJ3kZgOxWNnUxjLUN5WXh1Z2fhICHnMZbUMR5eajE-CDjhyphenhyphenxuT4DvsqBZRKXl-zGQQ9gFpkf0Txq89Iv5f9pfVV6DrBJxbMkwrt9uGExjpDjqd1v6JVmyO3g1WyEiz2Mgc/s72-c/tunm.jpg)
No comments: