KUALA LUMPUR ― Mahkamah Sesyen hari ini memberi
tempoh sebulan kepada pihak pendakwaan bagi melengkapkan semua dokumen
berkaitan kes bekas Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana
Menteri (JPM) Datuk Hasanah Abdul Hamid yang menghadapi tuduhan pecah amanah
wang untuk diserahkan kepada pihak pembelaan.
Hakim Rozina Ayob berkata ini kerana sebelum ini kes itu
telah ditetapkan untuk sebutan dan sepatutnya hari ini semua dokumen sudah
lengkap.
Loading...
“Sebelum ini sudah ada sebutan, tetapi pihak pendakwaan
masih belum serah semua dokumen. Sepatutnya semua dokumen siap hari ini,”
katanya dan menetapkan 21 Feb untuk pihak pendakwaan melengkapkan semua dokumen
tersebut.
Beliau berkata demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya
Muhamad Iskandar Ahmad memaklumkan pihak pendakwaan masih belum menyerahkan
semua dokumen berhubung kes itu.
“Pihak pendakwaan hari ini telah menyerahkan tiga lagi
dokumen kepada pembelaan, namun masih ada beberapa dokumen lagi yang belum
diserahkan,” kata Muhamad Iskandar semasa sebutan semula kes itu dan peguam
Mohd Khairul Azam Abdul Aziz yang mewakili Hasanah, 61, mengesahkan menerima
dokumen tersebut.
Antara dokumen yang diserahkan kepada pembelaan hari ini
ialah salinan DVD rakaman kamera litar tertutup (CCTV) aras 13 Shaftsbury
Residence, Cyberjaya, salinan hardisk rakaman kamera litar tertutup (CCTV)
Pejabat Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya dan salinan
slide.
Sebelum ini, pada 29 Nov tahun lepas pihak pendakwaan telah
menyerahkan 46 dokumen antaranya ialah surat pelantikan Hasanah sebagai ketua
pengarah penyelidikan, senarai sitaan, invois, gambar barang kes, rakaman
percakapan serta gambar lokasi di bahagian penyelidikan.
Muhamad Iskandar turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa
pihak pendakwaan telah memfailkan permohonan untuk memindahkan kes itu ke
Mahkamah Tinggi semalam dan Rozina juga menetapkan tarikh sama (21 Feb) untuk
mengetahui status pemindahan kes tersebut.
Mohd Khairul Azam turut memohon kepada mahkamah supaya akaun
anak guamnya tidak dibekukan supaya tertuduh dapat meneruskan kehidupan
hariannya, bagaimanapun, Rozina berkata mahkamah tidak boleh membuat keputusan
sebaliknya menyarankan supaya kedua-dua pihak berbincang berhubung perkara
tersebut.
“Mahkamah tidak boleh buat keputusan (akaun tersebut) tetapi
pihak pembelaan boleh berbincang dengan pihak pendakwaan termasuk pegawai
penyiasat berkaitan perkara itu,” kata hakim.
Pada 25 Oktober 2018, Hasanah mengaku tidak bersalah atas
pertuduhan melakukan pecah amanah wang berjumlah USD12.1 juta milik kerajaan
Malaysia, di Pejabat Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan JPM, Kompleks JPM,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya antara 30 April dan 9 Mei
2018.
Dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang
memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun maksimum 20 tahun, dan
sebatan, dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan. ― Bernama
Sebulan untuk pendakwa lengkapkan dokumen tuduhan pada Hasanah
Reviewed by Faceless
on
23:05
Rating:
No comments: