PUTRAJAYA — Status sebenar projek Laluan Rel Pantai
Timur (ECRL) sama ada diteruskan atau sebaliknya akan dimaklumkan Menteri
Kewangan Lim Guan Eng, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Kita tunggu kenyataan Lim Guan Eng. Harap semua sabar,”
katanya ditanya pemberita mengenai status projek ECRL itu selepas menghadiri
taklimat tertutup bersama peneraju badan berkanun sempena Program Eksekutif
Pengurusan Tertinggi Badan Berkanun Persekutuan di sini hari ini.
Loading...
Ditanya sama ada satu keputusan sudah dibuat kerajaan
mengenai projek berkenaan, Dr Mahathir mengulangi bahawa semua maklumat
mengenainya akan dijelaskan oleh Menteri Kewangan.
Ditanya berkenaan kenyataan berbeza yang dikeluarkan
mengenai projek ECRL itu sebelum ini, Dr Mahathir berkata semua orang membuat
silap dan ia dilihat besar pada mata masyarakat.
“Kadang-kadang semua orang buat silap. Walaupun kita buat
silap kecil namun, ia dilihat begitu besar hanya kerana kami sebuah kerajaan
baharu,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Mahathir turut menafikan penyebaran surat
yang menggunakan kepala surat kerajaan berhubung projek berkenaan.
“Sekarang ini, semua orang boleh ambil surat kerajaan dan
letak kepala surat kerajaan. itu bukan rasmi,” katanya.
Lim semalam dilaporkan berkata segala kenyataan rasmi
berhubung projek ECRL akan dibuat minggu ini.
Menurut Lim, perkara itu amat sensitif kerana ia membabitkan
kontrak bersama China Communications Construction Group Ltd (CCCC) dan pelbagai
pihak lain.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
sebelum ini dilapor mengumumkan kerajaan membuat keputusan membatalkan projek
ECRL, dan keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Kabinet Khamis lepas. Lim
kemudian dilapor terkejut dengan kenyataan Azmin itu.
Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata kerajaan hari ini harus
mencari cara untuk menangani masalah kos sara hidup yang tinggi dihadapi rakyat
di negara ini.
“Kita perlu tahu apa yang mereka tidak gembira tetapi
kebanyakan yang paling mempengaruhi mereka ialah kos kehidupan yang tinggi.
“Kos kehidupan yang tinggi untuk orang kaya tidak membawa
apa-apa makna bagi mereka tetapi bagi mereka yang miskin ia satu masalah
besar,” katanya
Beliau berkata, kebanyakan orang miskin tinggal di kawasan
luar bandar dan kerajaan terpaksa mencari jalan bagi mengurangkan kos kehidupan
dan membantu mereka untuk memperoleh pendapatan yang lebih baik. — Bernama
Semua orang buat silap, PM ulas menteri dedah isu ECRL
Reviewed by Faceless
on
17:36
Rating:

No comments: