SHAH ALAM — Prosiding inkues bagi menyiasat punca
kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim di Mahkamah Koroner di sini
yang bermula hari ini menyaksikan anggota polis yang menerima laporan mengenai
kejadian kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman Seafield pada November tahun
lepas, menjadi antara saksi awal memberi keterangan.
Ketua Bahagian Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Daerah
(IPD) Subang Jaya DSP Mohamad Nasir Drahman berkata Jentera Fire Rescue Tender
(FRT) yang tiba untuk memadam kebakaran sebuah kereta di Kuil Sri Maha
Mariamman USJ 25 Subang, November lalu, dikelilingi orang ramai dan dibaling
dengan objek keras sehingga pecah cermin hadapan.
Loading...
"Jentera FRT hadapan dikelilingi oleh orang ramai dan
dibaling batu. Jentera kemudian berundur dan melanggar van Unit Bantuan
Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) sebelum ke hadapan dan kembali mengundur,
mengundur hingga hilang daripada penglihatan saya,” katanya ketika menjawab
soalan Timbalan Pendakwa Raya Hamdan Hamzah.
Inkues dijalankan di hadapan Hakim Rofiah Mohamad yang
bersidang sebagai Koroner,
Beliau berkata di lokasi kejadian, seramai 3,000 ke 5,000
individu berkumpul di kuil berkenaan.
Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan
Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya,
parah selepas dipercayai diserang dan dipukul perusuh dalam kejadian kekecohan
di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov lepas, dan
menghembuskan nafas terakhir di Insttut Jantung Negara (IJN) pada 17 Dis.
Sementara itu Timbalan Pendakwa Raya Zhafran Rahim Hamzah
yang terlibat dalam inkues itu berkata selain Mohamad Nasir, dua saksi lain
yang dijangka turut memberi keterangan hari ini adalah anggota bomba yang
memandu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan jentera pemadam api FRT.
“Sehingga kini pihak kami menyenaraikan tujuh saksi yang
akan dipanggil dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui pemberita sebelum
prosiding bermula.
Dalam pada itu, Zhafran berkata permohonan 50 penganut agama
Hindu dan Jawatankuasa Menyelamat Kuil Sri Maha Mariamman Seafield untuk
menjadi pihak-pihak berkepentingan dalam prosiding inkues ditolak oleh Mahkamah
Tinggi di sini pada minggu lepas.
Tinjauan Bernama di luar mahkamah mendapati beberapa saksi
antaranya beberapa anggota bomba dan seorang lelaki dipercayai abang Muhammad
Adib tiba di mahkamah sekitar pukul 9.30 pagi.
Mohamad Nasir dalam keterangannya berkata beliau berada
sekitar 80 atau 100 meter dari lokasi semasa jentera itu diserang selama antara
10 dan 15 saat, sebelum kumpulan penyerang itu meninggalkan lokasi.
Katanya beliau hanya melihat jentera bomba itu diserang, dan
bukannya anggota bomba dipukul atau dicederakan seperti didakwa sesetengah
pihak.
Beliau juga berkata selepas serangan, kumpulan itu kemudian
menuju ke arah pejabat pemaju, One City, yang terletak kira-kira 500 meter dari
kuil.
Seorang lagi saksi, Md Elliza Mohd Noor, pemandu jentera FRT
dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya berkata setibanya di lokasi, mereka
mendapati sekumpulan orang menjerit-jerit, menghalang mereka daripada
memadamkan kebakaran, yang menyebabkan penyelia bertugas mengarahkan mereka
supaya tidak keluar dari jentera itu.
“Tak sampai lima hingga 10 saat, saya dapati ketukan pertama
di cermin depan dan diikuti balingan objek seperti batu-bata dan helmet. Saya
dapat lihat dua atau tiga orang awam berlari di sebelah kiri jentera saya ke
arah belakang dan saya tak tahu untuk tujuan apa,” katanya.
Prosiding inkues kemudiannya ditangguh sehingga 2.15 petang.
— Bernama
Inkues Adib: Dibaling objek keras, jentera bomba mengundur, kata saksi
Reviewed by Faceless
on
02:10
Rating:
Reviewed by Faceless
on
02:10
Rating:

No comments: