BUTTERWORTH — Kalangan pelabur-pelabur Jepun kini
kembali yakin untuk melabur di Malaysia berikutan kedudukan ekonomi negara yang
semakin mengukuh dan memberangsangkan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Beliau yang mengetuai siri jelajah Kementerian Kewangan ke
Jepun selama tiga hari bermula 6 Februari lepas, berkata antara faktor
keyakinan itu adalah berdasarkan kemampuan Malaysia dalam menangani isu skandal
1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Loading...
“Saya baru balik dari Jepun dan menemui pelabur di sana.
Mereka (kini) yakin dengan ekonomi Malaysia dan mahu kembali (melabur) di
Malaysia. Sebelum ini mereka tidak berani untuk berbuat demikian kerana
bimbangkan skandal 1MDB.
“Namun, selepas melihat adanya tindakan diambil terhadap
skandal 1MDB, mereka kini yakin untuk kembali ke Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri
acara menggaul yee sang sepanjang 209.7 meter bersempena hari ketujuh
sambutanTahun Baru Cina di Tokong Tow Boo Kong, di sini malam tadi.
Mengulas selanjutnya, Lim berkata, Malaysia juga pada masa
sama turut mengharapkan pelaburan negara-negara lain termasuk China yang
merupakan penyumbang pelaburan terbesar negara sebanyak 32 peratus.
Selain itu, beliau juga optimis pembangunan ekonomi negara
dijangka lebih cerah pada tahun ini berdasarkan indeks pengeluaran industri
yang meningkat sebanyak 3.1 peratus pada tahun lepas berbanding tahun
sebelumnya.
“Ini adalah satu petunjuk yang menggalakkan. Ini berikutan
pengumuman bahawa (nilai) eksport tahun ini mencatat rekod iaitu hampir RM1
trilion dan lebihan dagangan turut naik 22 peratus kepada RM120 bilion daripada
RM98 bilion.
“Kadar inflasi juga yang paling rendah dalam tempoh sembilan
tahun iaitu hanya satu peratus. Kesemua ini adalah petunjuk baik dan kita yakin
perkembangan ekonomi tahun ini boleh menjadi lebih cerah,” katanya.
Selain itu, mengulas amaran Tabung Kewangan Antarabangsa
(IMF) kepada kerajaan-kerajaan untuk bersiap sedia menghadapi kemungkinan
berlakunya 'ribut' ekonomi global, Lim berkata Malaysia adalah antara negara
yang akan meraih manfaat dalam jangka pendek berikutan perang perdagangan
antara Amerika Syarikat dan China.
Ini berikutan kedua-dua negara terbabit mahu mencari negara
ketiga yang mempunyai lokasi pelaburan ‘neutral’ atau berkecuali.
“Dalam jangka pendek, ini akan memberi manfaat kepada kita
namun keadaan berbeza bagi jangka panjang.
“Oleh itu, kita berharap ia (isu pertikaian perdagangan)
dapat ditangani segera. Kita juga harus bersedia terhadap sebarang ‘ribut’
ekonomi namun pada masa sama perlu merebut peluang yang ada,” katanya. —
Bernama
Jepun yakin kemampuan k'jaan menangani skandal 1MDB, mahu kembali melabur di Malaysia
Reviewed by Faceless
on
16:52
Rating:

No comments: