Puan Sri Sabariah Mohd Shariff (kiri) bersama peguamnya Mohd
Khairul Azam Abdul Aziz mengadakan sidang media di Kompleks Mahkamah Shah Alam,
semalam. — Foto Bernama
SHAH ALAM — Seorang pengundi berdaftar di kawasan
Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih memfailkan saman pemula terhadap
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menghalang suruhanjaya itu daripada
mengendalikan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih akan datang.
Selain SPR, Puan Sri Sabariah Mohd Shariff, 58, selaku
plaintif turut menamakan Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun serta Kerajaan
Persekutuan sebagai defendan-defendan dan saman itu difailkan secara dalam
talian (e-filing) menerusi Tetuan Azam Aziz Shaharudinali & Co pada Jumaat
lalu.
Loading...
Bercakap dalam sidang media di lobi Kompleks Mahkamah Sultan
Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini semalam, Sabariah berkata beliau memutuskan
untuk mengambil tindakan saman itu selepas timbul isu di media sosial berkaitan
SPR sama ada ia satu entiti yang sah atau tidak di sisi Perlembagaan
Persekutuan.
“Melihat perkembangan politik hari ini, saya merasakan
bahawa adalah menjadi tanggungjawab saya sebagai pengundi di kawasan DUN
Semenyih dan sebagai warganegara Malaysia untuk melakukan sesuatu selaras
dengan prinsip Kedaulatan Undang-undang seperti terkandung dalam Perlembagaan
dan undang-undang negara.
“Saya tidak mewakili mana-mana fahaman atau parti politik,
saya tiada apa-apa kepentingan politik dengan apa jua keputusan undian yang
bakal dibuat oleh majoriti pengundi di DUN Semenyih nanti.
“Saya hanya mahu memastikan proses demokrasi di negara kita
ini dijalankan oleh pihak yang sah di sisi undang-undang dan saya percaya
mahkamah satu-satunya medan yang layak membuat keputusan sama ada SPR ini sah
atau tidak mengikut Perlembagaan,” katanya.
Peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz yang mewakili plaintif
pula berkata pihaknya berharap mahkamah akan menetapkan tarikh pendengaran
dalam masa terdekat dan membuat keputusan sebelum hari penamaan calon PRK DUN
Semenyih pada Sabtu ini (16 Februari).
“Pihak kami difahamkan saman difailkan anak guam kami adalah
tindakan yang pertama di negara ini. Kita serahkan kepada mahkamah sama ada SPR
masih satu entiti yang sah apabila hanya terdapat seorang Pengerusi SPR yang
menguruskan hal-hal rasmi SPR selepas timbalan pengerusi SPR dan lima lagi
anggotanya telah meletak jawatan berkuat kuasa 1 Januari lalu dengan perkenan
Yang di-Pertuan Agong.
“Mengikut Fasal 114 (1) Perlembagaan Persekutuan, SPR
mestilah terdiri daripada gabungan seorang pengerusi, seorang timbalan pengerusi
dan lima anggota SPR yang kesemuanya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong
selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja,” katanya.
Dalam tuntutan saman pemulanya, Sabariah memohon perintah
deklarasi bahawa entiti SPR tidak wujud dan tidak sah dan atau tidak
berperlembagaan selepas 1 Januari lepas menurut Fasal 114 (1) Perlembagaan
Persekutuan.
Plaintif juga memohon perintah deklarasi bahawa mesyuarat
SPR bertarikh 18 Januari lepas yang dipengerusikan oleh Azhar Azizan seorang
diri tanpa keanggotaan timbalan pengerusi dan lima anggota SPR yang lain adalah
tidak sah, batal dan melanggar Fasal sama, serta kesemua keputusan yang dibuat
dalam mesyuarat itu tidak sah, batal dan tidak boleh dikuatkuasakan oleh Azhar
Azizan.
Selain itu, Sabariah memohon injunksi larangan untuk
menghalang defendan kedua (Azhar Azizan) daripada bermesyuarat dan atau
meneruskan, melaksanakan, menjalankan atau sebarang tindakan atau perbuatan
mengendalikan atau menganjurkan dan atau melaksanakan PRK DUN Semenyih sehingga
keanggotaan penuh SPR dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut Perlembagaan
Persekutuan.
Dalam afidavit yang turut difailkan bersama saman pemula
itu, plaintif mendakwa setakat 18 Januari lalu, Yang di-Pertuan Agong tidak ada
membuat lantikan timbalan pengerusi dan lima anggota SPR yang baharu.
Menurutnya, beliau percaya disebabkan SPR tidak lagi wujud
secara sah selepas 1 Januari 2019, maka pengerusi SPR seorang diri tidak boleh
mengendalikan, mengagihkan atau melaksanakan sebarang mesyuarat atau membuat
sebarang keputusan untuk mengendalikan PRK DUN Semenyih.
Enam bekas anggota SPR itu ialah Tan Sri Othman Mahmood
(bekas Timbalan Pengerusi SPR), Datuk Md Yusop Mansor, Datuk Abdul Aziz
Khalidin, Datuk Sulaiman Narawi, Datuk K. Bala Singam dan Datuk Leo Chong
Cheong.
Lima daripada mereka meletak jawatan pada 18 Oktober 2018
manakala seorang lagi pada 27 November 2018 dan kesemua peletakan jawatan itu
berkuat kuasa pada 1 Januari 2019.
Pada 18 Januari lalu, Azhar Azizan mengumumkan bahawa PRK
DUN Semenyih akan diadakan pada 2 Mac ini, hari penamaan calon pada Sabtu ini
dan hari mengundi awal pada 26 Februari. — Bernama
Tinggal pengerusi, pengundi saman SPR halang PRK Semenyih
Reviewed by Faceless
on
16:59
Rating:
Reviewed by Faceless
on
16:59
Rating:

No comments: