Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, dia dipanggil berikutan namanya merupakan antara 10 individu disebut dalam hujah balas saman yang dikemukakan pengasas dan pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown, lapor Kosmo Online.
"Saya datang bantu selesaikan siasatan SPRM berhubung dakwaan Rewcastle-Brown kononnya saya ada sebuah kereta dengan nombor plat ditempah khas daripada duit RM90 juta itu.
"Dalam dakwaan itu, saya dikatakan ada beberapa kereta dan motosikal mewah, jadi saya sudah jelaskan semuanya kepada SPRM dan tiada apa-apa dokumen diserahkan kepada mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai memberi keterangan lebih empat jam di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.
Terdahulu, Takiyuddin tiba di Ibu pejabat SPRM di sini pada pukul 9.20 pagi dan dilihat keluar pada pukul 1.50 petang.
Tambah Takiyuddin, Pas akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM bagi membantu siasatan khususnya membabitkan 10 nama yang disebut oleh Rewcastle-Brown itu.
"Ada nama-nama pemimpin Kelantan, Terengganu dan Perlis. Kita minta mereka untuk tampil memberi penjelasan kepada SPRM," katanya.