Foto oleh Bernama
Bekas perdana menteri, Najib Razak hari ini mengekalkan
pengakuan tidak bersalahnya atas tiga pertuduhan melibatkan diri dalam
pengubahan wang haram berhubung dana SRC International Sdn Bhd (SRC) berjumlah
RM27 juta, lima tahun lepas.
Najib, 66, yang bersut kelabu mengangguk faham selepas
jurubahasa wanita membacakan setiap satu pertuduhan dan ketika ditanya sama ada
beliau mengaku bersalah atau tidak, Najib berkata: "Minta bicara".
Loading...
Hari ini adalah sebutan kali pertama kes itu di hadapan
Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan selepas kes itu dibenarkan dipindah
dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.
Mengikut ketiga-tiga pertuduhan berkenaan, Najib didakwa
melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang keseluruhannya
RM27 juta, iaitu hasil daripada aktiviti haram dalam tiga akaun AmPrivate
Banking miliknya.
Najib dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di AmIslamic
Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No 55, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014
mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan
Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta
atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Manoj Kurup mencadangkan mahkamah menggunapakai
jaminan yang ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen pada 8 Feb lepas. Mahkamah
menetapkan 17 April untuk sebutan semula kes Najib yang diwakili peguam
Muhammad Shafee Abdullah.
Pada 8 Feb lepas, Najib didakwa di Mahkamah Sesyen di Kuala
Lumpur atas tiga pertuduhan itu, bagaimanapun kes itu dipindahkan ke Mahkamah
Tinggi selepas pihak pendakwaan memohon kes itu dibicarakan di Mahkamah Tinggi.
Sementara itu, di Mahkamah Tinggi berlainan di hadapan Hakim
Mohd Nazlan Mohd Ghazali telah menetapkan Isnin ini untuk pengurusan kes Najib
yang didakwa atas tujuh pertuduhan melibatkan dana SRC berjumlah RM42 juta
selepas Manoj memohon tarikh berkenaan ketika sebutan kes itu hari ini.
Manoj berkata pada tarikh berkenaan, pihaknya akan
memaklumkan perkembangan empat rayuan Najib yang didengar pada 11 Mac dan
bersambung 15 Mac ini di Mahkamah Rayuan.
Rayuan berkenaan adalah melibatkan perintah menghalang media
daripada menyiarkan perbincangan umum berkaitan merit kes itu, penzahiran
dokumen, pelantikan Datuk Sulaiman Abdullah sebagai ketua pasukan pendakwaan
dan sijil pindah kes.
Pada 4 Julai tahun lepas, Najib didakwa atas tiga pertuduhan
pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kuasa melibatkan dana SRC
International berjumlah RM42 juta.
Pada 8 Ogos tahun lepas, Najib didakwa di Mahkamah Sesyen di
Kuala Lumpur atas tiga tuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama
dari dana serupa. - Bernama
Kes dana SRC RM27 juta: Najib kekal mengaku tak salah
Reviewed by Faceless
on
23:15
Rating:
No comments: