JOHOR BARU ― Sebanyak 13 sekolah di sekitar Pasir Gudang diarahkan tutup, mulai esok sehingga satu tarikh yang akan ditetapkan berikutan insiden pencemaran susulan pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim, Khamis lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian
Johor Dr Sahruddin Jamal berkata 13 sekolah berkenaan termasuk empat yang telah
ditutup sebelum ini iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih, Sekolah
Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Puteh, SK Tanjung Puteri Resort dan SMK Tanjung
Puteri Resort.
Loading...
Katanya keputusan itu dicapai menerusi Mesyuarat Pengaktifan
Jawatankuasa Kerja bagi menangani kejadian pembuangan sisa bahan kimia di
Sungai Kim Kim, yang diadakan di sini, petang semalam.
“Mesyuarat bersetuju supaya Jabatan Pendidikan Negeri Johor
dan Jabatan Pendidikan Agama Negeri Johor untuk menutup beberapa sekolah
sehingga satu tarikh yang akan ditetapkan,” kata beliau dalam satu kenyataan,
di sini.
Selain empat sekolah tadi, turut ditutup SK Pasir Putih, SK
Kota Masai 2, SMK Kota Masai 2, SK Kota Masai 3, SMK Kota Masai, SK Kota Masai,
SK Perigi Acheh, Sekolah Agama Kampung Pasir Putih dan Sekolah Agama Taman
Pasir Putih.
Dr Sahruddin berkata kerajaan Negeri Johor melalui
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri telah mengaktifkan jawatankuasa kerja
bagi menangani kejadian pembuangan sisa tersebut yang bertujuan menyelaras dan
memantau kejadian tumpahan bahan kimia yang berlaku.
Selain penutupan sekolah tersebut, Mesyuarat Pengaktifan
Jawatankuasa Kerja itu turut memutuskan bersetuju melantik kontraktor yang
dilesenkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi melaksanakan kerja-kerja pembersihan
di Sungai Kim Kim sepanjang 1.5 km yang akan di selaraskan Jabatan Pengairan
dan Saliran serta JAS Johor.
Beliau berkata ia adalah lanjutan daripada kerja-kerja
pembersihan yang telah dilakukan pada 7 dan 8 Mac lepas.
Katanya, orang awam dinasihati supaya tidak memasuki kawasan
di lokasi tempat kerja-kerja pembersihan yang akan dilaksanakan tersebut.
“Kerajaan Negeri Johor juga menekankan supaya orang ramai
mengikut saranan Jabatan Kesihatan Negeri supaya mendapatkan rawatan segera
sekiranya mempunyai gejala pedih mata, sakit dada dan sesak nafas dan disyaki
terhidu dan terdedah kepada bahan kimia tersebut,” katanya.
Menurut Dr Sahruddin, orang ramai juga dinasihati
menggunakan air terawat untuk aktiviti harian, kerap mandi dan pakaian yang
digunakan hendaklah dibasuh berasingan setiap kali keluar dari rumah bagi
mengelakkan kemungkinan sisa toksik terkena di anggota badan, mengelakkan diri
dari memasuki dan berada di kawasan kejadian tersebut serta dinasihatkan
mengelak melakukan sebarang aktiviti termasuk aktiviti riadah berdekatan
kawasan Sungai Kim Kim.
Orang ramai juga diminta mengikuti maklumat terkini kejadian
berkenaan dari sumber maklumat yang sahih dan mematuhi arahan pihak berkuasa,
katanya. ― Bernama
Pencemaran kimia: 13 sekolah sekitar Pasir Gudang ditutup
Reviewed by Faceless
on
20:59
Rating:
No comments: