Foto Astro Awani
KUALA LUMPUR — Tidak akan ada lagi cukai baharu bagi tahun ini kecuali cukai ke atas
gula yang diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2019, kata Perdana Menteri
Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.
“(Bagaimanapun), ia (pelaksanaannya) ditangguhkan buat
sementara waktu kerana kita mahu memastikan mekanisme itu berkesan terutamanya
untuk memenuhi matlamat kesihatan negara,” katanya ketika menyampaikan ucaptama
di Invest Malaysia 2019 di sini.
Loading...
Cukai eksais 40 sen seliter ke atas minuman bergula yang sepatutnya
mula dilaksanakan pada 1 April, 2019 bagaimanapun ditangguhkan kepada 1 Julai,
2019.
Semasa membentangkan Belanjawan 2019, Menteri Kewangan, Lim
Guan Eng mengumumkan cukai gula akan dikenakan ke atas minuman yang mengandungi
gula melebihi lima gram bagi setiap 100 mililiter, begitu juga jus yang
mengandungi lebih 12 gram gula bagi setiap 100 mililiter.
Perdana Menteri juga berkata mulai tahun depan, kerajaan
akan menggunakan hasil yang dikutip daripada cukai itu bagi menjalankan program
sarapan berkhasiat dan percuma kepada semua kanak-kanak sekolah rendah.
“Kita mahu anak-anak kita kuat dan sihat untuk mencapai
prestasi baik di sekolah,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berkata jawatankuasa
pembaharuan cukai (TRC) juga berada di peringkat akhir untuk memuktamadkan
cadangan penambahbaikan hasil cukai.
Cadangan itu akan mengesyorkan langkah untuk mengurangkan
ketirisan cukai, bagaimana mengakses kepada transaksi ekonomi yang dianggap
haram, penambahbaikan pentadbiran cukai serta mencari sumber hasil baharu,
katanya.
“Kita juga akan melaksanakan rasionalisasi insentif cukai
bagi pelaburan, memandangkan struktur pentadbiran serta tadbir urus insentif
cukai yang ada sekarang amat berasingan, menggunakan kos yang tinggi dan kurang
berkesan,” katanya.
Beliau berkata Malaysia pada masa ini menawarkan lebih 130
jenis insentif yang diuruskan oleh 32 Agensi Penggalak Pelaburan, dengan
pelbagai peranan dan tanggungjawab, serta beberapa agensi yang memberi
kelulusan.
“Cadangan kita memerlukan insentif cukai pelaburan yang
holistik dan mudah yang akan menarik pelaburan masa depan,” katanya.
Dr Mahathir berkata insentif itu akan diberikan kepada
sektor diinginkan dan jenis pelaburan yang diperlukan negara, serta insentif
itu dijajarkan dan terikat dengan Petunjuk Prestasi Utama yang khusus.
Agensi yang terlibat dalam memberikan dan meluluskan
insentif cukai akan turut diperkemas.
Kadar cukai korporat di Malaysia telah sedia kompetitif,
katanya.
Bagi tahun ini, kadar cukai korporat akan dikurangkan kepada
17 peratus daripada 18 peratus untuk perusahaan kecil dan sederhana dengan
modal berbayar di bawah RM2.5 juta serta perniagaan yang mencatatkan pendapatan
boleh cukai tahunan di bawah RM500,000.
Mengenai syarikat besar dan utama pula, di samping kadar
cukai itu yang lebih tinggi, kadar cukai berkesan adalah kurang daripada 10
peratus susulan insentif ini, katanya. — Bernama
PM: Tiada cukai baru, kutipan hasil minuman bergula untuk sarapan percuma murid
Reviewed by Faceless
on
22:22
Rating:
No comments: