KUALA LUMPUR ― Empat jenayah antarabangsa iaitu
pembunuhan beramai-ramai, jenayah perang, jenayah kemanusiaan dan pencerobohan
akan dijadikan sebagai undang-undang tempatan sekiranya Malaysia meratifikasi
Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), kata Menteri Luar Datuk
Saifuddin Abdullah.
Saifuddin berkata selepas diratifikasi, ia harus dijadikan
sebagai undang-undang negara sama ada menerusi pindaan akta sedia ada atau
mewujudkan akta baharu, tanpa memerlukan sebarang pindaan kepada Perlembagaan
Persekutuan.
Loading...
“Ia (Statut Rom) adalah di peringkat antarabangsa. Selepas
ia diratifikasi (jika tidak tarik diri), keempat-empat jenayah antarabangsa itu
harus dijadikan jenayah dalam mahkamah tempatan. Adakah ia perlukan pindaan
Perlembagaan, jawapannya tidak.
“Selepas kita wujudkan undang-undang atau akta itu, andainya
berlaku ada rakyat atau pemimpin tetapi bukan Agong, bukan raja terlibat dengan
jenayah itu (antara empat jenayah), mahkamah Malaysia boleh mendakwa dia. Kalau
mahkamah Malaysia telah mendakwa mereka, ICC tak akan masuk campur,” katanya
dalam program Ruang Bicara di Bernama News Channel, di sini malam tadi.
Jelas Saifuddin lagi, prinsip ICC adalah sebagai mahkamah
pilihan terakhir apabila negara yang terlibat secara jelas tidak mengambil
apa-apa tindakan terhadap pesalah terbabit.
Katanya selagi negara itu berkehendak dan berkemampuan untuk
mengadili dan seterusnya menghukum pesalah terbabit, kita boleh buat sendiri
dan ICC tidak akan campur tangan.
Pada 5 April lepas, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad
mengumumkan Malaysia menarik diri daripada Statut Rom berikutan kekeliruan yang
timbul dari segi politik dalam kalangan masyarakat.
Sambil menegaskan bahawa keputusan itu bukan disebabkan
Statut itu membahayakan, Perdana Menteri berkata Surat Cara Penerimaan Statut
Rom ICC yang Malaysia tandatangani pada 4 Mac lepas, boleh ditarik semula
sebelum Jun tahun ini.
ICC adalah mahkamah jenayah antarabangsa pertama berasaskan
perjanjian, bertujuan menamatkan kekebalan terhadap pelaku jenayah paling
serius yang membimbangkan masyarakat antarabangsa melibatkan jenayah pembunuhan
beramai-ramai, jenayah perang, jenayah kemanusiaan dan pencerobohan.
Sebelum ini, sesetengah pihak mendakwa sekiranya Malaysia
menerima Statut Rom, akan wujud kes bertentangan, misalnya berlaku kes hak
asasi manusia di negara ini, dan ini akan mengakibatkan Malaysia hilang
kebebasannya untuk menggubal dasar serta undang-undangnya sendiri.
Saifuddin menjelaskan Malaysia boleh kembali menandatangi
ICC, sekiranya berhasrat untuk berbuat demikian pada masa akan datang kerana
keputusan untuk menyertai ICC itu adalah bersifat sukarela. ― Bernama
Empat jenayah jadi undang-undang Malaysia jika Statut Rom diratifikasi
Reviewed by Faceless
on
19:23
Rating:

No comments: