Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) menafikan dakwaan bahawa
China Communications Construction Company Ltd (CCCC) mempunyai sebarang hak dan
kepentingan terhadap hasil mineral dan galian di negeri yang terlibat semasa
pembinaan projek ECRL sepanjang 640 kilometer.
“MRL ingin menekankan bahawa pembinaan projek ECRL yang kini
menghubungkan Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor dan
Putrajaya adalah tertakluk kepada Kanun Tanah Negara 1965.
Loading...
“Antaranya, Seksyen 40 Kanun Tanah Negara 1965, dengan jelas
menyatakan bahawa semua galian dan bahan batuan yang terkandung atau berada di
atas tanah adalah hak milik kerajaan negeri melalui Pihak Berkuasa Negeri,”
katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.
MRL memetik Seksyen 40 Kanun Tanah Negara 1965 iaitu semua
harta dalam Tanah Kerajaan, semua galian dan bahan batuan yang terkandung di
dalam atau di atas mana-mana tanah (kecuali jika hak-hak ke atasnya telah
dilupuskan oleh Pihak Berkuasa Negeri) adalah terletak hak hanya kepada Pihak
Berkuasa Negeri.
Justeru itu, MRL menafikan dakwaan berita dan ulasan yang
menyatakan bahawa hasil mineral dan galian seperti emas dan silika akan
dimiliki oleh CCCC ketika pembinaan rangkaian rel ECRL.
Menurut syarikat itu, sama seperti mana-mana kontrak
pembinaan, kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pelaksanaan (EPCC)
bagi projek ECRL juga mempunyai klausa ‘antiquities’ di mana semua barang antik
dan harta berkepentingan yang dijumpai di tapak pembinaan akan dimiliki
sepenuhnya oleh majikan tersebut, di dalam situasi ini ia adalah MRL.
MRL juga mengulangi bahawa pihaknya adalah pemilik penuh
aset rangkaian rel ECRL dalam syarikat usaha sama 50:50 yang akan ditubuhkan
bersama CCCC untuk operasi dan penyelenggaraan ECRL.
Ini bertujuan bagi memastikan aset di bawah projek ECRL
adalah di bawah kawalan kerajaan Malaysia, katanya.
MRL, anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan
(Diperbadankan), juga menjelaskan bahawa pelantikan utama anggota lembaga
pengarah dan pengurusan tertinggi di dalam syarikat usaha sama akan ditetapkan
oleh kerajaan Malaysia.
Sebagai pemilik aset dan projek ECRL, MRL menyangkal dakwaan
berita dan ulasan yang mencadangkan bahawa Malaysia berisiko menggadaikan aset
dan kedaulatan negara kepada China hasil daripada syarikat usaha sama.
MRL berkata tujuan utama syarikat usaha sama antara MRL dan
CCCC ditubuhkan adalah untuk perkongsian risiko operasi dan sokongan teknikal
selain Malaysia juga dapat memanfaatkan kepakaran operasi dan penyelenggaraan
ECRL menerusi konglomerat yang disokong kerajaan China.
MRL juga memaklumkan bahawa menerusi Memorandum Persefahaman
(MOU), tiada jaminan pendapatan atau keuntungan daripada kerajaan Malaysia
untuk usaha sama MRL-CCCC dalam menguruskan operasi dan penyelenggaraan.
Justeru itu, pembahagian keuntungan dan kerugian syarikat
usaha sama tertakluk kepada MOU yang telah dipersetujui iaitu melalui
persefahaman yang telah dicapai, kerugian operasi ECRL akan ditanggung 50:50
antara MRL dan CCCC, menurut syarikat tersebut.
Namun, jika operasi mencatatkan keuntungan, 80 peratus
keuntungan adalah milik MRL dan baki 20 peratus akan dimiliki CCCC, katanya.
- Bernama
Syarikat China tiada hak ambil galian projek ECRL, kata MRL
Reviewed by Faceless
on
16:51
Rating:

No comments: